ASIA
2 min membaca
Thailand intai rundingan perdagangan dengan AS selesai pertikaian tarif
Dorongan untuk penyelesaian segera itu dibuat selepas AS mengenakan kenaikan tarif balas sebanyak 19 peratus ke atas import dari Thailand, dengan kadar setinggi 40 peratus bagi barangan yang disyaki melibatkan transshipment.
Thailand intai rundingan perdagangan dengan AS selesai pertikaian tarif
(FAIL) Rundingan itu akan merangkumi tarif 19 peratus serta klausa perjanjian dalam Thailand-US Counter-Tariff Agreement. / Reuters
24 Oktober 2025

Thailand berhasrat menggunakan Sidang Kemuncak ASEAN sebagai platform utama untuk mempercepat rundingan perdagangan dua hala dengan Amerika Syarikat (AS), dengan matlamat untuk memuktamadkan butiran penting berhubung tarif balas dan peraturan baharu Regional Value Content (RVC) menjelang akhir tahun ini, lapor The Nation.

Isu utama yang dibincangkan melibatkan penetapan nisbah khusus bagi RVC bagi mengelak penyalahgunaan asal produk atau transshipment oleh negara ketiga — iaitu antara kebimbangan terbesar Washington.

Dorongan untuk penyelesaian segera itu dibuat selepas AS mengenakan kenaikan tarif balas sebanyak 19 peratus ke atas import dari Thailand, dengan kadar setinggi 40 peratus bagi barangan yang disyaki melibatkan transshipment.

Menteri Perdagangan Thailand Suphajee Suthumpun berkata delegasi Thailand akan mengadakan perbincangan dua hala dengan wakil AS di Kuala Lumpur semasa Sidang Kemuncak ASEAN dari 26 hingga 28 Oktober.

Rundingan itu akan merangkumi tarif 19 peratus serta klausa perjanjian dalam Thailand-US Counter-Tariff Agreement, yang jika dipersetujui akan dikemukakan kepada Kabinet dan Parlimen Thailand sebelum ditandatangani secara rasmi.

Menurut Ketua Pengarah Jabatan Perdagangan Luar Negeri (DFT) Arada Fuangtong, sekiranya rundingan itu berjaya, AS dijangka menggunakan kriteria RVC bagi menentukan asal usual sesuatu produk, sekali gus menggantikan kaedah sedia ada yang hanya menilai proses pembuatan atau perubahan kod kastam.

Di bawah peraturan ASEAN, sekurang-kurangnya 40 peratus nilai produk mesti berasal dari rantau ini, namun AS dijangka menuntut kadar lebih tinggi melebihi 50 peratus. Butiran formula pengiraan dijangka dimuktamadkan November ini.

Sebagai insentif untuk mengurangkan tarif balas 19 peratus, produk yang menggunakan lebih 20 peratus bahan mentah dari AS hanya akan dikenakan tarif ke atas bahagian bukan berasal dari AS — satu langkah yang menggalakkan pengeksport Thailand meningkatkan penggunaan bahan mentah dari AS.

DFT turut merancang menjadi satu-satunya agensi yang mengeluarkan Certificate of Origin (C/O) bagi eksport ke AS, bagi menutup ruang penipuan dan meningkatkan keyakinan rakan dagang.

Laporan Kementerian Perdagangan Thailand memetik data firma logistik Descarts yang menunjukkan import kontena AS merosot 8.4 peratus pada September 2025 berbanding tahun sebelumnya, dengan import dari China menjunam 22.9 peratus.

Walaupun import dari ASEAN meningkat, kadar pertumbuhan bulanan semakin perlahan — mencerminkan ketidaktentuan pasaran global akibat kos penghantaran yang tidak menentu, ekonomi lemah dan ketegangan geopolitik yang meningkat.