Amerika Syarikat mengekalkan kadar tarif 19% ke atas barangan Malaysia, namun memberikan pengecualian kepada 1,711 garis tarif melibatkan eksport utama negara, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Zafrul Abdul Aziz.
Beliau berkata pengecualian tersebut merangkumi komoditi penting seperti minyak sawit, produk getah, koko, komponen dan alat ganti pesawat, serta produk farmaseutikal — yang secara keseluruhannya menyumbang kira-kira AS$5.2 bilion atau 12% daripada jumlah eksport Malaysia.
“Tiada perubahan kepada komitmen awal kita dengan AS. Malah, akses yang diberikan kini lebih baik daripada tawaran terdahulu,” katanya selepas Malaysia dan Amerika Syarikat memeterai Agreement on Reciprocal Trade di Kuala Lumpur pada Ahad.
Menurut Tengku Zafrul, Kabinet telah meluluskan kenyataan bersama Malaysia-AS mengenai perjanjian perdagangan timbal balik yang menyeluruh bagi memperluas akses pasaran dan mengukuhkan daya tahan rantaian bekalan.
Di bawah perjanjian tersebut, Malaysia akan memberi akses pasaran istimewa kepada eksport AS merangkumi barangan industri seperti bahan kimia, jentera, peralatan elektrik, logam dan kenderaan penumpang, serta produk pertanian termasuk tenusu, ayam, minuman, beras dan etanol bahan api.
Sebagai timbal balas, Amerika Syarikat akan mengekalkan tarif 19% terhadap barangan Malaysia seperti yang ditetapkan di bawah Executive Order 14257, namun mengenakan kadar sifar kepada produk tertentu Malaysia yang disenaraikan di bawah kategori khas untuk rakan sejajar.














