Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa sebarang isu berkaitan Laut China Selatan mesti diselesaikan secara dalaman dalam kalangan negara anggota ASEAN dan rakan serantau.
“Kita mahu ia diselesaikan dalam ASEAN serta bersama rakan serantau. Namun apabila ia kelihatan seperti dipaksa atau ditentukan oleh kuasa luar, keadaan akan menjadi lebih rumit dan tegang,” katanya pada Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) di Kuala Lumpur, yang diadakan sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan sidang-sidang berkaitan.
Menurut beliau, perbincangan mendalam telah diadakan mengenai Laut China Selatan, dan semua pihak bersetuju untuk merangka Code of Conduct (COC) bagi memastikan keamanan dan kestabilan di rantau ini.
Beberapa negara di rantau ini mempunyai tuntutan bertindih terhadap kawasan perairan tersebut, yang telah mencetuskan ketegangan sejak sekian lama.
Menyentuh mengenai Palestin, Anwar mengalu-alukan pelan 20 perkara yang dikemukakan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump untuk menamatkan perang di Gaza, namun menegaskan usaha itu perlu diteruskan dan dipantau bagi menjamin keamanan yang berkekalan.
“Ia satu permulaan penting untuk menghentikan kegilaan, pembunuhan beramai-ramai dan kekejaman,” katanya.
Dalam isu Myanmar, beliau berkata ASEAN kekal komited terhadap pelaksanaan Konsensus Lima Perkara dan menggesa negara anggota terus berinteraksi bagi membolehkan Myanmar mengurus hal ehwal negaranya melalui mekanisme nasional sendiri.
Anwar turut menyambut baik kehadiran Presiden Brazil Luiz Inacio Lula da Silva dan Presiden Afrika Selatan Cyril Ramaphosa pada sidang kemuncak kali ini, menyifatkannya sebagai lambang kesedaran baharu terhadap peralihan demokratik serta sokongan kuat terhadap multilateralisme dan kerjasama global.














