Terma terperinci bagi penyelesaian pertikaian sempadan Thailand-Kemboja dijangka dimuktamadkan dalam tempoh satu atau dua hari, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, sebarang perjanjian yang dicapai antara kedua-dua negara akan ditandatangani dan disaksikan oleh beliau sendiri serta Presiden Amerika Syarikat Donald Trump.
“Baru-baru ini, Menteri Pertahanan kedua-dua negara juga telah memeterai syarat terperinci dan sekiranya disepakati dalam satu dua hari ini, majlis pemeteraian akan disaksikan oleh saya dan Presiden Trump,” katanya semasa sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat pada Khamis.
Anwar berkata, Malaysia berjaya memainkan peranan sebagai perantara dalam membantu menyelesaikan pertikaian berkenaan melalui beberapa siri rundingan yang diadakan sebelum ini, termasuk pertemuan antara ketua angkatan tentera, menteri luar, dan menteri pertahanan kedua-dua negara di Kuala Lumpur.
Tambahnya, perkembangan positif itu mencerminkan keberkesanan diplomasi ASEAN di bawah kepengerusian Malaysia yang menekankan pendekatan penglibatan secara membina, berbeza dengan dasar tidak campur tangan blok serantau itu sebelum ini.
“Sebab itu, apabila isu antara Thailand dan Kemboja timbul, kita segera ambil inisiatif mengundang mereka ke Kuala Lumpur, dan akhirnya satu persefahaman dicapai,” katanya.
Beliau berkata ASEAN sebelum ini tidak memberi banyak tumpuan terhadap isu-isu berkaitan prinsip neutral, tetapi sebaliknya lebih menumpukan kepada isu-isu pusat.
“Sebelum ini tidak terlalu menekankan isu neutrality, sebab itu ia diubah menjadi centrality. Neutral ini dilihat seolah-olah tidak memihak sama sekali tapi centrality ini masih meneruskan hubungan dan berinteraksi. Non-interference (tidak masuk campur) ini tidak bermakna tidak boleh berunding,” katanya.














