Setakat ini, tiada rakyat Malaysia dilaporkan terjejas susulan pergolakan di Timur Tengah yang semakin memuncak, yang turut melibatkan Emiriah Arab Bersatu (UAE), menurut laporan Bernama.
Duta Besar Malaysia ke UAE Sirajuzzaman Mohamed Ariffin mengesahkan kira-kira 8,500 rakyat Malaysia di sana—termasuk penduduk tetap dan penumpang transit—berada dalam keadaan selamat.
Misi diplomatik di Abu Dhabi dan Dubai kini beroperasi 24 jam bagi memantau rapi keadaan semasa.
Beliau menyeru agar rakyat Malaysia yang berada di UAE segera mendaftarkan diri dengan pihak kedutaan bagi memudahkan penyaluran maklumat terkini.
"Penting untuk keluarga di tanah air mengetahui bahawa warga kita di sana tidak bersendirian," katanya kepada Bernama TV pada Rabu.
Beliau turut menasihatkan penumpang pesawat agar sentiasa mengemas kini maklumat peribadi dengan syarikat penerbangan bagi menerima notifikasi segera mengenai status penerbangan mereka.
Bagi penumpang yang terkandas, kerajaan UAE telah mengambil inisiatif menyediakan penginapan hotel serta baucar makanan sementara menunggu jadual penerbangan seterusnya.
Walau bagaimanapun, Sirajuzzaman mengingatkan orang ramai supaya hanya pergi ke lapangan terbang setelah mendapat pengesahan rasmi.
Beliau juga menjelaskan bahawa pejabat kedutaan memberi keutamaan bantuan kepada kes-kes kecemasan dan kumpulan rentan yang memerlukan perhatian segera.
Pihak kedutaan turut proaktif menghubungi rakyat Malaysia secara berperingkat untuk mengesahkan maklumat mereka, terutamanyna bagi individu yang sudah lama tidak mengemas kini butiran peribadi.
Bagi mereka yang memerlukan bantuan konsular, talian kecemasan 24 jam dan e-mel telah disediakan.
Warga Malaysia juga digesa menggunakan sistem e-Konsular untuk memudahkan urusan penyelarasan bantuan sekiranya keadaan mendesak.
Konflik di Asia Barat kini memasuki hari keenam dengan skala serangan yang membimbangkan.
Kementerian Pertahanan UAE melaporkan sebanyak 186 peluru berpandu balistik dikesan dilancarkan ke arah negara tersebut, dengan 172 daripadanya berjaya dipintas.
Selain itu, UAE turut merekodkan serangan dron besar-besaran sebanyak 812 unit, di mana majoritinya berjaya dimusnahkan oleh sistem pertahanan ruang udara negara itu.
Meskipun satu peluru berpandu dilaporkan mendarat di dalam wilayah UAE dan beberapa lagi jatuh di laut, kawalan keselamatan tetap diperketatkan.
Rakyat Malaysia dinasihatkan untuk terus berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan bagi menjamin keselamatan diri sepanjang tempoh krisis ini berlangsung.








