Presiden Amerika Syarikat Donald Trump berkata pada Sabtu bahawa Amerika Syarikat telah memulakan “operasi tempur besar” di Iran, serta memberi amaran bahawa mungkin terdapat korban dalam kalangan pasukan AS.
Serangan itu, yang menurut Trump bertujuan untuk memusnahkan peluru berpandu Iran dan melenyapkan tentera lautnya, menyusuli amaran berulang kali daripada AS-Israel bahawa mereka akan menyerang Iran sekali lagi jika ia meneruskan program nuklear dan peluru berpandu balistiknya.
“Saya tidak membuat kenyataan ini sambil lewa. Rejim Iran mahu melakukan pembunuhan,” kata Trump dalam satu video yang dikongsi di Truth Social.
“Nyawa wira Amerika yang berani mungkin terkorban dan kita mungkin akan berdepan kematian yang sering berlaku dalam mana-mana peperangan, tetapi kita melakukan ini bukan untuk sekarang. Kita melakukan perkara ini untuk masa depan, dan ia adalah satu misi yang mulia.”
Trump memberitahu anggota Pengawal Revolusi Islam - angkatan tentera Iran - supaya meletakkan senjata mereka, sambil menjanjikan bahawa mereka akan diberikan imuniti.
Pilihan lain, menurut Trump, ialah “kematian.”
Washington dan Tehran telah mengadakan beberapa siri rundingan dalam beberapa minggu kebelakangan ini mengenai program nuklear Iran.
Yang terbaharu telah diadakan pada Khamis namun, tiada sebarang perjanjian dicapai.
“Iran asyik menolak, seperti yang telah dilakukannya selama berdekad-dekad. Mereka menolak setiap peluang untuk meninggalkan cita-cita nuklear mereka, dan kami tidak boleh menerimanya lagi,” kata Trump.














