DUNIA
2 min membaca
Malaysia kutuk serangan Israel, AS ke atas Iran
Perdana Menteri Anwar Ibrahim, ketika membentangkan usul khas di Dewan Rakyat hari ini, menegaskan operasi ketenteraan yang berterusan itu membawa risiko besar serta mengancam kestabilan serantau, khususnya di negara-negara Teluk.
Malaysia kutuk serangan Israel, AS ke atas Iran
Anwar Ibrahim menyeru agar gencatan senjata segera dilaksanakan tanpa sebarang syarat. / Foto: Jabatan Penerangan Malaysia / Other
15 jam yang lepas

Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya serangan rejim Israel dan Amerika Syarikat ke atas Iran, menyifatkan tindakan tersebut sebagai pencabulan jelas terhadap prinsip komuniti antarabangsa dan kedaulatan sesebuah negara.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim, ketika membentangkan usul khas di Dewan Rakyat hari ini, menegaskan operasi ketenteraan yang berterusan itu membawa risiko besar serta mengancam kestabilan serantau, khususnya di negara-negara Teluk.

Beliau menyeru agar gencatan senjata segera dilaksanakan tanpa sebarang syarat bagi mengelakkan peperangan yang lebih meluas.

"Tindakan ketenteraan berterusan itu tentunya berisiko malah telah bermula menyebabkan ketegangan, eskalasi lebih besar dan menggugat kestabilan serantau terutama negara-negara Teluk yang semuanya atau kebanyakkannya diheret dalam kancah peperangan akibat dari serangan yang dimulakan oleh Israel yang bersekongkol dengan Amerika Syarikat," tegas Anwar.

Beliau turut menyelar sikap Israel yang terus melanggar undang-undang antarabangsa dan Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Anwar turut menyuarakan kebimbangan mengenai kitaran serangan yang mungkin berlarutan, memandangkan beberapa pemimpin Israel kini mula memberi amaran kepada negara lain seperti Turkiye.

Sebagai tanda penghormatan, Dewan Rakyat bertafakur atas kematian Pemimpin Agung Iran, Ayatollah Ali Khamenei, dan rakyatnya.

Anwar turut menyampaikan ucapan takziah kepada kerajaan Iran atas kehilangan tokoh-tokoh penting termasuk Menteri Pertahanan Jen Aziz Nasirzadeh, bekas presiden Mahmoud Ahmadinejad, serta 180 kanak-kanak yang terkorban di Minab.

Mengenai keselamatan rakyat Malaysia di Timur Tengah, Perdana Menteri memberi jaminan bahawa kebajikan lebih 29,112 warga Malaysia yang berada di rantau itu, termasuk di Qatar, UAE, Arab Saudi, dan Jordan, menjadi keutamaan kerajaan.

Ramai yang kini terkandas susulan penutupan ruang udara dan gangguan jadual penerbangan.

Kerajaan komited untuk bekerjasama dengan negara-negara Teluk bagi memulihkan perpaduan melalui rundingan demi mempertahankan kebebasan dan kemerdekaan serantau.

Anwar menegaskan krisis ini hanya boleh diselesaikan di meja rundingan secara konstruktif, dan bukannya melalui kekerasan yang membinasakan.

Pengesahan kematian Ayatollah Ali Khamenei oleh televisyen rasmi Iran pada Ahad dibuat selepas gelombang serangan udara besar-besaran oleh AS dan Israel, yang memuncak susulan ketegangan selama 12 hari antara kedua-dua pihak sejak Jun tahun lalu.

SUMBER:TRT Global