Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengutuk sekeras-kerasnya pembunuhan Pemimpin Agung Iran, Ali Khamenei, sambil memberi amaran bahawa tindakan tersebut bakal mengheret rantau Timur Tengah ke kancah ketidakstabilan yang lebih parah dan berpanjangan.
Menerusi hantaran di laman X, Anwar menegaskan serangan ke atas seorang ketua negara merupakan satu duluan (precedent) berbahaya yang melanggar norma serta prinsip undang-undang antarabangsa.
Beliau turut mengingatkan pihak yang menyokong tindakan tersebut supaya berwaspada dengan kesan susulan yang sukar diramal.
"Takziah diucapkan kepada kerajaan dan rakyat Iran, namun Malaysia menggesa pihak berkuasa Iran agar bertindak balas dengan penuh kawalan diri. Krisis ini tidak boleh diselesaikan melalui kekerasan, sebaliknya memerlukan diplomasi dan kehendak politik yang teguh," ujar beliau.
Anwar turut menyatakan solidariti Malaysia bersama negara-negara lain dalam menuntut gencatan senjata dengan segera serta perlindungan ke atas orang awam.
Beliau menekankan kepentingan untuk semua pihak menghentikan sebarang provokasi yang boleh memburukkan lagi keadaan.
Mengenai keselamatan rakyat Malaysia di Iran dan negara-negara Teluk, Perdana Menteri memberi jaminan bahawa kerajaan sedang mengambil segala langkah yang perlu untuk memastikan keselamatan mereka.
Misi diplomatik Malaysia telah diberi mandat penuh serta sumber yang mencukupi untuk menghulurkan bantuan segera kepada warga yang terjejas.
Selain aspek keselamatan, kerajaan juga akan menilai kesan ekonomi akibat konflik ini, terutamanya risiko terhadap ruang udara serantau dan kebebasan navigasi di Selat Hormuz.
Malaysia, katanya, komited untuk bertindak dengan sewajarnya bagi memelihara kepentingan perdagangan dan tenaga negara.













