Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa kerajaan Türkiye sekali lagi memberi jaminan untuk terus membantu membebaskan sembilan aktivis dan sukarelawan Malaysia yang kini ditahan secara haram oleh rejim Zionis Israel.
“Buat semua ahli keluarga yang menanti dengan doa dan air mata, percayalah — negara bersama kalian. Anak-anak Malaysia yang berani ini bukan sekadar sukarelawan berjiwa murni, mereka adalah wira kemanusiaan yang membawa nama negara ke tengah lautan perjuangan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Anwar menegaskan Malaysia tidak akan berdiam diri dan akan terus memperjuangkan keadilan serta pembebasan semua tahanan tersebut.
“Semoga Allah SWT memberi kekuatan kepada anak-anak Malaysia menempuhi cabaran ini dan mempermudahkan setiap langkah urusan pembebasan mereka,” katanya.
Mengenai rundingan gencatan senjata di Gaza, Anwar menyambut baik laporan kemajuan yang disifatkannya sebagai satu “sinar harapan” untuk rakyat Palestin yang sedang menanggung penderitaan dan kemusnahan.
“Setiap usaha untuk menamatkan keganasan dan melindungi nyawa orang tidak bersalah mesti dilakukan dengan keikhlasan dan segera,” katanya sambil menegaskan sokongan penuh Malaysia terhadap perjuangan rakyat Palestin untuk keadilan, maruah dan kenegaraan.
“Berunding bukan bererti menyerah, berunding bukan bermakna kita lemah. Ia tanda kebijaksanaan dan kematangan dalam merungkai konflik dan mencari jalan damai,” ujar beliau.
Menurut Anwar, diplomasi adalah senjata bangsa berprinsip yang cintakan keamanan.
“Jemputan kepada mana-mana pemimpin dunia, termasuk Donald Trump, bukan soal tunduk menyembah, sebaliknya keberanian untuk bercakap terus kepada kuasa besar agar suara kolektif ASEAN dan dunia Islam didengar,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa pendekatan diplomasi Kerajaan MADANI adalah tegas pada prinsip dan bijak dalam langkah bagi memastikan kedudukan Malaysia di persada antarabangsa terus dihormati serta kedaulatan negara kekal terpelihara.
“Malaysia akan terus memperteguh usaha bersama negara sahabat seperti Mesir bagi mencari laluan terbaik menyalurkan bantuan kemanusiaan ke Gaza menerusi Sempadan Rafah. Ini isu kemanusiaan dan kita tidak akan berganjak daripada pendirian memperjuangkan keadilan. Jangan sekali kita menyerah,” tegas Perdana Menteri.