Sektor eksport Thailand kini berada dalam keadaan berjaga-jaga susulan ketegangan yang memuncak di Timur Tengah yang menyaksikan syarikat perkapalan mula menghentikan tempahan ruang kargo, lapor The Nation.
Sejak konflik itu bermula pada 28 Februari lalu, Iran telah mengumumkan penutupan Selat Hormuz—laluan utama yang membawa 20% bekalan minyak dunia—sekali gus mencetuskan huru-hara dalam logistik global.
Majlis Pengeksport Kebangsaan Thailand (TNSC) memberi amaran bahawa gangguan kepada dua "arteri maritim" utama, iaitu Selat Hormuz dan Terusan Suez (melalui Laut Merah), akan membuat kapal-kapal terpaksa melencong ke Cape of Good Hope di Afrika Selatan.
Lencongan itu menambah jarak perjalanan sejauh 7,500 kilometer dan melambatkan tempoh penghantaran antara 35 hingga 45 hari, yang seterusnya meningkatkan penggunaan bahan api, selain berisiko kekurangan stok.
Kesan daripada krisis ini, syarikat perkapalan mula mengenakan pelbagai caj tambahan seperti Surcaj Gangguan Transit (TDS) dan Premium Risiko Perang.
Kadar tambang bagi kontena biasa dilaporkan melonjak dua hingga tiga kali ganda daripada paras normal, malah ada yang mencecah AS$3,500 bagi kontena sejuk beku.
Situasi ini diburukkan lagi dengan keengganan banyak syarikat perkapalan utama untuk menerima tempahan baharu bagi laluan berisiko.
Pengerusi TNSC Thanakorn Kasetsuwan menyifatkan konflik itu sebagai risiko berpanjangan yang akan menyebabkan ketidaktentuan ekonomi global sekurang-kurangnya bagi tempoh tiga hingga enam bulan akan datang.
Selain kos logistik, pengeksport Thailand turut berdepan tekanan daripada kenaikan harga tenaga domestik dan kejatuhan nilai mata wang Baht yang meningkatkan kos import bahan mentah untuk pengeluaran.
Sebagai langkah proaktif, kerajaan Thailand melalui Menteri Perdagangannya Suphajee Suthumpun menggariskan enam langkah segera termasuk memantau harga barangan pengguna bagi mengelak aktiviti sorok atau catuan.
Pengeksport juga digesa untuk mempelbagaikan pasaran ke rantau ASEAN dan Asia Selatan bagi mengurangkan kebergantungan kepada laluan yang terjejas, selain menyelaraskan kontrak penghantaran bagi menguruskan risiko kewangan.
Meskipun perdagangan langsung Thailand dengan pihak yang berkonflik adalah kecil, kedudukan negara itu sebagai pengimport tegar tenaga bermakna impak ekonomi akan dirasai dengan pantas melalui bil elektrik dan kos pengangkutan domestik.
Pihak industri kini bimbang jika krisis ini berlarutan lebih daripada sebulan, ia akan mengakibatkan krisis kekurangan kontena kosong di Asia yang bakal melumpuhkan rantaian bekalan serantau.













