Gangguan terhadap aliran perdagangan Malaysia susulan serangan Amerika Syarikat dan Israel ke atas Iran adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan, tegas Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Johari Abdul Ghani.
Beliau berkata setiap kali tercetusnya peperangan, ia pastinya akan memberi kesan langsung kepada kelancaran aktiviti perdagangan antarabangsa, lapor New Straits Times.
Menurut Johari, gangguan terhadap laluan perkapalan dan penerbangan sudah mula dirasai apabila beberapa pesawat terpaksa berpatah balik atau tidak dapat berlepas sejak Sabtu lalu.
Beliau menyifatkan situasi itu sebagai risiko besar yang bukan sahaja dihadapi Malaysia, malah semua negara yang terpaksa menggunakan laluan lebih jauh atau berdepan kelewatan penghantaran barangan.
Dalam pada itu, penganalisis ekonomi berpendapat Malaysia mungkin mendapat manfaat daripada kenaikan harga minyak mentah sebagai negara pengeksport petroleum.
Pakar ekonomi Geoffrey Williams berkata harga minyak yang melonjak melepasi AS$70 setong mampu mengukuhkan pendapatan kerajaan melalui Petronas, sekali gus menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan selamat (safe haven) di rantau ini.
Bagaimanapun, Williams memberi amaran bahawa kenaikan harga minyak global ini juga akan meningkatkan beban subsidi petrol RON95 negara.
Walaupun kedudukan Ringgit yang kukuh ketika ini bertindak sebagai penampan terhadap turun naik pasaran luar, tempoh ketidaktentuan yang lama boleh mempercepatkan pelaksanaan rasionalisasi subsidi secara bersasar.
Dari sudut risiko tidak langsung, Hamidah Mohd Yusop menjelaskan bahawa ekonomi Malaysia yang terbuka sangat terdedah kepada gangguan rantaian bekalan global dan kenaikan kos insurans perang bagi sektor maritim.
Jika ketegangan di Teluk berlarutan, kos pengangkutan dan pengeluaran yang lebih tinggi akhirnya akan dipindahkan kepada pengguna, sekali gus mencetuskan tekanan inflasi, tambahnya.
Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri kini sedang memantau rapat impak konflik tersebut terhadap pelaburan langsung asing (FDI).
Johari menegaskan sekiranya krisis ini berpanjangan, aktiviti ekonomi global akan terus terbeban, dan Malaysia perlu bertindak bijak bagi memelihara kepentingan ekonomi nasional daripada terjejas lebih parah.













