ASIA
2 min membaca
Thailand kekal berhemah susulan insiden sempadan dengan Kemboja, kata Kementerian Luar
Thailand menolak dakwaan Kemboja mengenai pencerobohan wilayah, sambil menegaskan penempatan pasukan Thai adalah selaras dengan perjanjian gencatan senjata sebagai langkah menamatkan pertempuran.
Thailand kekal berhemah susulan insiden sempadan dengan Kemboja, kata Kementerian Luar
Jurucakap Kementerian Luar Nikorndej Balankura berkata Thailand komited menyelesaikan ketegangan sempadan dengan Kemboja secara aman. (FAIL) / Reuters
8 Januari 2026

Thailand menegaskan komitmennya untuk menyelesaikan ketegangan sempadan dengan Kemboja secara aman susulan insiden tembakan rentas sempadan di kawasan Chong Bok, Ubon Ratchathani, pada 6 Januari yang mengakibatkan seorang anggota tentera Thailand cedera, lapor The Nation.

Jurucakap Kementerian Luar Nikorndej Balankura berkata pihak Kemboja menjelaskan letupan itu berpunca daripada bahan letupan jenis DKZ yang tertinggal dalam timbunan sampah dan meletup ketika kerja pembersihan sedang dijalankan.

Bangkok, katanya, memilih untuk tidak bertindak balas menggunakan tenaga tentera.

“Thailand telah menunjukkan tahap kawalan diri tertinggi dan tidak membalas dengan senjata,” katanya dalam sidang media.

Beliau turut menolak dakwaan Kemboja mengenai pencerobohan wilayah, sambil menegaskan penempatan pasukan Thailand adalah selaras dengan perjanjian gencatan senjata sebagai langkah menamatkan pertempuran.

Mesyuarat Jawatankuasa Sempadan Bersama (JBC) bagi kajian sempadan darat hanya akan dipertimbangkan selepas pilihan raya umum Thailand dan pembentukan kerajaan baharu nanti.

Dalam perkembangan berasingan, Nikorndej memaklumkan Thailand menerima pemulangan empat arca gangsa purba kumpulan Prakhon Chai daripada Asian Art Museum, San Francisco.

Artifak itu tiba di Thailand pada 6 Januari selepas diserahkan secara rasmi pada 8 Disember 2025, hasil kerjasama sejak 2018 antara Jabatan Muzium Negara, Kementerian Luar dan pihak berkuasa Amerika Syarikat.

Beliau menyifatkan pemulangan artifak itu sebagai penting kerana menjadi bukti arkeologi yang mencerminkan kemakmuran komuniti purba di timur laut Thailand.

Dalam masa sama, kementerian melaporkan peningkatan 21.09 peratus pendaftaran pengundi luar negara berbanding 2023, dengan 139,535 mendaftar untuk pilihan raya dan 95,666 bagi referendum, kebanyakannya dari Australia, Amerika Syarikat, Jepun, United Kingdom dan Jerman.

Menyentuh isu serantau, kementerian itu berkata ia sedang memantau ketegangan antara Amerika Syarikat dan Venezuela, namun hanya terdapat seorang warganegara Thailand yang berdaftar di negara itu dan dilaporkan tidak terjejas dengan situasi di negara Amerika Latin itu.

Mengenai perkembangan politik dalaman Myanmar, termasuk penubuhan “Negeri Kawthoolei”, Nikorndej menegaskan Thailand melihatnya sebagai hal ehwal dalaman Myanmar, sambil menyatakan harapan agar keamanan berkekalan dapat dicapai.