Sistem pengangkutan awam yang cekap memainkan peranan penting dalam menyokong ekonomi, mengurangkan pencemaran serta memudahkan kehidupan seharian.
The Nation melaporkan di Asia, beberapa negara menonjol kerana berjaya membangunkan rangkaian pengangkutan awam yang mampu milik, boleh dipercayai dan saling berhubung, yang merangkumi kereta api laju, metro bandar dan perkhidmatan bas bersepadu.
Jepun sering dianggap sebagai penanda aras global dengan sistem Shinkansen dan rangkaian relnya yang terkenal dengan ketepatan masa, keselamatan dan kelajuan.
Korea Selatan pula menampilkan sistem berteraskan teknologi, khususnya di Seoul, dengan maklumat masa nyata, sokongan pelbagai bahasa serta integrasi bas dan rel yang lancar.
Singapura turut diiktiraf dengan sistem MRT dan bas yang terancang, dikawal selia dengan baik dan sentiasa dinaik taraf.
China memiliki rangkaian kereta api laju terbesar di dunia yang menghubungkan bandar-bandar utama, di samping sistem metro yang pesat berkembang di Beijing, Shanghai dan Shenzhen.
Hong Kong pula dipuji dengan MTR yang bersih, tepat masa dan mudah dihubungkan dengan feri, bas serta trem.
Taiwan melengkapkan senarai ini dengan perkhidmatan mesra pengguna melalui Kereta Api Laju Taiwan serta sistem metro yang stabil di Taipei dan Kaohsiung.
Di Asia Barat, Emiriah Arab Bersatu menunjukkan kemajuan pesat, khususnya di Dubai dan Abu Dhabi. Metro automatik Dubai, iaitu antara rangkaian tanpa pemandu terpanjang di dunia, disokong sistem tiket pintar, stesen moden dan disiplin masa yang tinggi.
Di Asia Tenggara, Malaysia terus memperkukuh pengangkutan awamnya dengan peluasan rangkaian MRT, LRT dan monorel di Lembah Klang yang menawarkan perjalanan mudah dan berpatutan.
Thailand pula bergantung kepada BTS Skytrain dan MRT Bangkok yang membantu mengurangkan kesesakan jalan raya.
Indonesia melengkapkan senarai ini dengan kemajuan ketara di Jakarta melalui MRT Jakarta dan sistem bas pantas TransJakarta. Walaupun berdepan cabaran, pelaburan berterusan telah meningkatkan liputan dan kebolehpercayaan, mencerminkan komitmen negara itu untuk membangunkan pengangkutan awam yang lebih efisien.












