Malaysia mengambil langkah menyekat akses penggunaan Grok, sekali gus menyertai beberapa negara lain yang mengambil tindakan sama selepas chatbot kecerdasan buatan (AI) itu mencetuskan kontroversi berhubung penghasilan imej seksual dan tidak bermoral.
Syarikat xAI yang diterajui Elon Musk sebelum ini memaklumkan bahawa fungsi penjanaan dan penyuntingan imej Grok akan dihadkan kepada pelanggan yang berbayar, susulan pengakuan terdapat kelemahan perlindungan yang membolehkan pengguna menghasilkan kandungan seksual, termasuk tanpa kebenaran individu yang terlibat.
Dalam kenyataan pada Ahad, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berkata keputusan menyekat akses itu dibuat susulan penyalahgunaan berulang kali Grok dalam menjana imej lucah, berunsur seksual, menjijikkan serta manipulasi tanpa persetujuan, termasuk membabitkan wanita dan kanak-kanak.
Menurut MCMC, pihaknya telah mengeluarkan notis kepada X dan xAI pada bulan ini bagi menuntut pelaksanaan langkah teknikal dan moderasi yang lebih berkesan, namun maklum balas yang diterima terlalu bergantung kepada laporan pengguna dan gagal menangani risiko sebenar reka bentuk serta operasi alat AI tersebut.
“MCMC menganggap pendekatan ini tidak mencukupi untuk mencegah kemudaratan atau memastikan pematuhan undang-undang,” menurut kenyataan itu, sambil menegaskan sekatan akan kekal sehingga perlindungan berkesan dilaksanakan.
Indonesia pada Sabtu menjadi negara pertama yang menyekat akses kepada Grok, manakala xAI memberi maklum balas ringkas terhadap pertanyaan media antarabangsa dengan kenyataan berbentuk automatik, tanpa penjelasan lanjut.
Malaysia yang mempunyai undang-undang ketat berkaitan kandungan dalam talian berkata pihaknya bersedia untuk berunding dengan syarikat terbabit.
MCMC turut menegaskan komitmen kerajaan memperkukuh kawal selia digital bagi menangani peningkatan kandungan berbahaya, termasuk cadangan mengehadkan akses media sosial kepada pengguna bawah 16 tahun.










