Kerajaan telah merangka rang undang-undang bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada tidak melebihi 10 tahun atau dua penggal penuh, dan ia akan dibentangkan di Parlimen tahun ini, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Menurut Anwar, rang undang-undang berkenaan merupakan antara pembaharuan institusi yang akan dilaksanakan dalam sidang Parlimen tahun ini.
Beliau berkata prinsip had tempoh wajar diterapkan dalam jawatan awam, termasuk di Jabatan Perdana Menteri, bagi memberi ruang untuk peralihan kepimpinan kepada generasi seterusnya.
Anwar berkata rang undang-undang itu akan dibentangkan apabila sidang Parlimen bersambung semula hujung bulan ini, bersama beberapa rang undang-undang lain termasuk pemisahan kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya, rang undang-undang kebebasan maklumat serta Rang Undang-Undang Ombudsman.
Pada masa sama, beliau turut berkongsi pencapaian kerajaan Madani sejak 2022, termasuk pengukuhan nilai ringgit, rasionalisasi subsidi RON95 serta peningkatan pelaburan langsung asing (FDI) ke paras tertinggi tahun lalu.
Menurutnya, FDI mencecah RM285.8 bilion, meningkat 13.2 peratus, manakala perdagangan negara bagi tempoh Januari hingga November berjumlah RM2.8 trilion, naik 5.8 peratus.
Sejak negara merdeka, Malaysia tidak pernah menetapkan had tempoh bagi jawatan Perdana Menteri, membolehkan seseorang pemimpin memegang jawatan untuk tempoh yang lama selagi mereka mendapat sokongan di Parlimen.
Pada 2019, satu rang undang-undang bagi mengehadkan tempoh khidmat perdana menteri kepada dua penggal pernah diperkenalkan, namun gagal diluluskan menjadi undang-undang.












