Seramai 150 anggota kumpulan pertama Batalion Malaysia (MalBatt) 850-13 berlepas ke Lubnan pada Rabu bagi meneruskan misi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (Unifil), menurut laporan Bernama.
Majlis pelepasan di Pangkalan Udara Subang disempurnakan oleh Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jeneral Mohd Nizam Jaffar yang turut menyampaikan Beret PBB kepada semua anggota terbabit.
Beliau berkata misi selama 12 bulan itu melibatkan jumlah anggota yang lebih kecil berbanding sebelum ini, memandangkan pasukan yang diketuai Kolonel Mohd Rizwan Abdullah merupakan kumpulan terakhir yang akan berkhidmat di Lubnan.
“Penglibatan Malaysia bersama Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) sejak 2007 merupakan antara bab penting dalam sejarah ATM di Lubnan. Saya sendiri pernah berkhidmat sebagai komander MalBatt kedua, dan kali ini, selain membawa pulang sebahagian peralatan, kita juga akan terus melatih anggota tentera Lubnan,” katanya.
Beliau memaklumkan sebahagian aset akan diserahkan kepada Angkatan Tentera Lubnan, manakala pemulangan selebihnya dijadual bermula pertengahan tahun depan.
MalBatt 850-13 secara keseluruhan terdiri daripada 532 anggota, termasuk 68 pegawai dan 442 anggota lain-lain pangkat, serta tiga pegawai dan 18 anggota ABDB dan seorang pegawai kewangan Kementerian Pertahanan.
Dalam pada itu, Mohd Nizam menegaskan komitmen Malaysia untuk menghantar pasukan pengaman ke Gaza sekiranya diperlukan.
“Kita kekal positif dan bersedia. Perdana Menteri Anwar Ibrahim telah menyatakan kesediaan Malaysia menghantar pasukan ke sana. Beberapa struktur penugasan sedang dikaji, termasuk pasukan kenderaan berperisai sepenuhnya atau gabungan logistik dan perubatan. Keputusan akhir dijangka diperoleh hujung tahun ini, sama ada di bawah mandat PBB atau sebaliknya,” katanya.














