Perdana Menteri Anwar Ibrahim menolak dakwaan bahawa Malaysia telah menyerahkan 5,207 hektar tanah kepada Indonesia sebagai pampasan bagi tiga kampung di kawasan Nunukan berhampiran sempadan Sabah–Kalimantan, sambil menyifatkannya sebagai tidak benar dan mengelirukan.
Beliau berkata penentuan jajaran sempadan darat Malaysia–Indonesia tidak berasaskan pampasan, timbal balik atau pertimbangan untung rugi, sebaliknya berpandukan konvensyen dan perjanjian lama yang mengawal sempadan antarabangsa kedua-dua negara.
“Dakwaan kononnya Malaysia menyerahkan 5,207 hektar sebagai pampasan bagi tiga kampung di Nunukan adalah tidak benar dan merupakan maklumat salah,” katanya ketika taklimat khas Parlimen mengenai isu jajaran sempadan Malaysia–Indonesia di Dewan Rakyat hari ini.
Anwar menjelaskan Malaysia dan Indonesia terikat dengan perjanjian sempadan sejak lebih satu abad lalu, berasaskan Konvensyen Sempadan 1891 meliputi Sabah dan Sarawak, Perjanjian Sempadan 1915 bagi Sabah, serta Konvensyen Sempadan 1928 yang ditandatangani di The Hague bagi sektor kecil Sarawak.
Beliau berkata kawasan berhampiran Nunukan tergolong sebagai “Outstanding Boundary Problems” (OBP) yang belum dimuktamadkan sebelum ini, justeru tidak boleh dianggap wilayah berdaulat mana-mana pihak sehingga pengesahan bersama dilaksanakan.
Menurutnya, tinjauan bersama sejak 1977 mendapati wujud perbezaan antara peta sejarah dan geografi fizikal, khususnya lokasi muara sungai yang digunakan sebagai rujukan terdahulu, sekali gus memerlukan pengukuran semula mengikut kerangka undang-undang yang dipersetujui.
Di bawah pengukuran muktamad, Anwar berkata Malaysia memperoleh tambahan 780 hektar di sektor Sungai Sinapat–Sungai Sesai.
Tambah Anwar, 5,987 hektar kekal di bawah pentadbiran Indonesia, iaitu kawasan yang menurutnya telah diurus Indonesia sejak 1915 dan tidak pernah dituntut secara rasmi oleh Malaysia.
Beliau menegaskan kemasukan sebahagian kecil Kampung Kabungalor, Kampung Lepaga dan Kampung Tetagas ke dalam Sabah adalah hasil jajaran sempadan, bukan pemindahan tanah atau pampasan.
Perdana Menteri turut menggesa Ahli-Ahli Parlimen menangani isu sempadan secara berhemah dan tidak mempolitikkan rundingan sensitif dengan negara jiran.













