Penguatkuasaan had umur minimum 16 tahun untuk penggunaan media sosial bagi melindungi kanak-kanak dan remaja daripada eksploitasi serta pendedahan kepada kandungan tidak sesuai dijangka dilaksanakan seawal Julai ini, lapor Bernama.
Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata inisiatif itu kini berada dalam fasa regulatory sandbox, yang membolehkan kerajaan menguji dan memperhalusi kaedah pelaksanaan paling berkesan sebelum dikuatkuasakan sepenuhnya.
Beliau berkata langkah itu dilaksanakan selaras dengan Akta Keselamatan Dalam Talian (OnSA), dan perbincangan sedang dijalankan bersama penyedia platform media sosial bagi menentukan pendekatan pengesahan umur yang sesuai.
“Di bawah OnSA, kita telah memulakan perbincangan dengan penyedia platform. Ketika ini kita berada dalam fasa regulatory sandbox untuk mengenal pasti kaedah pengesahan umur yang paling berkesan dan selamat. Sasaran kita adalah pelaksanaan pada separuh kedua tahun ini,” katanya di Kulai, Johor pada Isnin.
Kerajaan turut menyasarkan semua platform media sosial untuk melaksanakan pengesahan identiti pengguna secara digital (eKYC) menjelang akhir suku kedua 2026 bagi memastikan pematuhan syarat umur minimum pendaftaran akaun.
Mengulas isu buli siber melibatkan pemain badminton negara Toh Ee Wei, Teo berkata beliau masih belum menerima pengesahan daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sama ada sebarang aduan rasmi telah dibuat.
Dalam perkembangan lain, Teo berkata Kerajaan Madani melalui Kementerian Pendidikan memperuntukkan RM800 juta bagi Bantuan Awal Persekolahan tahun ini, yang memanfaatkan kira-kira 5.2 juta murid dari Tahun Satu hingga Tingkatan Enam di seluruh negara.
Di Johor, seramai 586,153 pelajar menerima bantuan melibatkan peruntukan RM87.9 juta, termasuk 58,264 pelajar di daerah Kulai dengan peruntukan RM8.7 juta.












