Perdana Menteri Anwar Ibrahim menafikan dakwaan bahawa Malaysia telah menyerahkan 5,207 hektar tanahnya kepada Indonesia sebagai pampasan melibatkan tiga kampung di kawasan Nunukan berhampiran sempadan Sabah–Kalimantan, menurut laporan The Star.
Beliau menegaskan rundingan antara Malaysia dan Indonesia berkaitan pengukuran dan penandaan sempadan masih berjalan dan belum dimuktamadkan, sambil menyifatkan laporan yang tular di media sosial itu tidak mencerminkan keadaan sebenar.
“Malaysia dan Indonesia sedang berunding secara konstruktif dan harmoni. Maklumat yang mengelirukan perlu diperbetulkan,” katanya ketika berucap pada Karnival Kebudayaan Madani dan Kenduri Rakyat Pulau Pinang 2026 di Permatang Pasir pada Ahad.
Sebelum ini, beberapa laporan media Indonesia mendakwa Kampung Kabulangalor, Kampung Lepaga dan Kampung Tetagas di Nunukan kini berada di bawah pentadbiran Malaysia susulan pelarasan sempadan antarabangsa.
Pada Jumaat lalu, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Arthur Joseph Kurup menjelaskan rundingan berkaitan penandaan dan pengukuran kawasan Outstanding Boundary Problem (OBP) dilaksanakan secara harmoni, selaras dengan undang-undang antarabangsa serta perjanjian sempadan sedia ada.
Beliau menegaskan proses itu bukan berasaskan prinsip timbal balik, pampasan atau konsep untung rugi, dan usaha memuktamadkan pengukuran sempadan darat telah dimeterai melalui Memorandum Persefahaman (MoU) Malaysia–Indonesia pada 18 Februari 2025, iaitu selepas lebih 45 tahun rundingan teknikal dijalankan.












