Malaysia akan terus memperkukuh usaha bagi mempertingkatkan perpaduan ASEAN, kerjasama keselamatan maritim dan penglibatan serantau dalam isu Myanmar apabila Filipina mengambil alih Pengerusi ASEAN pada 2026, kata Setiausaha Agung Kementerian Luar Amran Mohamed Zin.
Beliau berkata keutamaan yang digariskan Filipina dilihat sebagai kesinambungan kepada agenda utama yang digerakkan semasa Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN pada 2025, menurut laporan Bernama.
Amran berkata Kuala Lumpur menyambut baik hasrat Manila untuk meneruskan momentum tersebut.
Menurutnya, pengukuhan ASEAN Centrality, perpaduan dan kesepaduan kekal penting ketika persaingan strategik kuasa besar semakin memuncak.
Dalam aspek keselamatan maritim, Amran berkata Malaysia menyokong usaha berterusan ASEAN bagi memastikan keamanan, kestabilan dan kebebasan pelayaran.
Beliau turut menekankan kepentingan membina keyakinan dan kerjasama lebih erat sesama negara anggota, sambil menegaskan komitmen ke arah memuktamadkan Kod Tatalaku (CoC) Laut China Selatan dalam tempoh sasaran menjelang 2026.
Menyentuh isu Myanmar, beliau berkata Malaysia digalakkan dengan komitmen Filipina untuk meneruskan pendekatan penglibatan dengan pihak berkepentingan Myanmar, termasuk melalui Mesyuarat Penglibatan Pemegang Taruh yang dianjurkan Manila, susulan proses yang dimulakan Malaysia.
Malaysia, katanya, akan terus menyokong Filipina melalui mekanisme Troika bersama Singapura bagi memastikan pendekatan serantau yang konsisten.
Amran turut memaklumkan Malaysia menyokong tumpuan Filipina terhadap pengukuhan perdagangan dan pelaburan, transformasi digital serta pembangunan ekonomi ASEAN yang lebih inklusif dan mampan.
Bidang ini, katanya, selari dengan keutamaan ekonomi Malaysia sebelum ini, termasuk memperkasa ekonomi kreatif, teknologi, perusahaan kecil dan sederhana, serta penggunaan kecerdasan buatan secara bertanggungjawab.
Beliau menegaskan perpaduan ASEAN kini semakin penting, memandangkan rantau ini merupakan blok ekonomi kelima terbesar dunia dan berpotensi menjadi keempat terbesar menjelang 2030.
“ASEAN yang bersatu adalah ASEAN yang kuat dalam menentukan hala tuju dan berinteraksi dengan kuasa besar,” katanya, menjelang Mesyuarat Pemukiman Menteri-Menteri Luar ASEAN di Cebu hujung bulan ini.












