Penyertaan Malaysia sebagai Negara Rakan BRICS bakal mengukuhkan pertumbuhan ekonomi yang lebih pantas, stabil dan berdaya tahan, menurut Menteri Luar Negeri Mohamad Hasan.
Katanya, Malaysia secara rasmi diterima sebagai negara rakan BRICS pada 1 Januari lalu, satu pengiktirafan terhadap dasar luar Malaysia yang bebas dan tidak berpihak.
“Keanggotaan ini mengangkat kedudukan Malaysia di pentas global, di samping melengkapi peranan kita dalam forum multilateral seperti ASEAN, PBB, OIC, NAM dan G77,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.
Beliau menegaskan bahawa keputusan dalaman BRICS dibuat secara konsensus, dan Malaysia akan terus menggunakan status rakan untuk mendapatkan sokongan ke arah keahlian penuh.
“Status ini membolehkan suara Malaysia didengari dengan lebih jelas, sekali gus meningkatkan keterlihatan dan profil negara,” katanya.
Dari segi ekonomi, Mohamad memaklumkan perdagangan Malaysia dengan negara BRICS mencecah RM818 bilion pada 2024 — bersamaan 35.2% daripada jumlah perdagangan negara — dengan eksport RM334.85 bilion atau 45% daripada keseluruhan eksport.
Penyertaan ini, katanya, membuka peluang pasaran baharu, menarik pelaburan langsung asing dan mengurangkan kebergantungan kepada rakan dagang tradisional.
Blok BRICS merangkumi lebih 3.87 bilion penduduk, hampir separuh populasi dunia, dan sekitar 27% KDNK global.
Sektor berkepentingan bagi Malaysia termasuk minyak sawit, getah, elektrik dan elektronik, pelancongan serta perkhidmatan kesihatan.
“BRICS turut menawarkan ruang kerjasama dalam tenaga, mineral kritikal dan teknologi, selari dengan aspirasi Malaysia di bawah NIMP 2030 dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga,” katanya sambil menjelaskan bahawa penyertaan ini menyokong agenda pertumbuhan hijau, pendigitalan dan pembangunan industri bernilai tinggi negara.
















