Perdana Menteri Thailand Anutin Charnvirakul menafikan dakwaan bahawa kerajaan Thai akan membuka semula pintu sempadan dengan Kemboja bulan depan, lapor The Nation.
Tegasnya, sekurang-kurangnya empat langkah dalam deklarasi bersama perlu diselesaikan sebelum hubungan boleh kembali normal.
Menjawab spekulasi bahawa pintu sempadan akan dibuka pada 1 November, Anutin berkata beliau tidak tahu siapa yang menetapkan tarikh tersebut.
“Saya tidak tahu siapa yang tetapkan tarikh itu,” katanya kepada wartawan di Kuala Lumpur pada Isnin.
Beliau menjelaskan bahawa sebarang pembukaan semula pintu sempadan bergantung kepada keikhlasan Kemboja dalam melaksanakan syarat-syarat yang termaktub dalam deklarasi bersama yang ditandatangani antara beliau dan Perdana Menteri Kemboja Hun Manet.
Katanya, Thailand akan menilai tindakan Kemboja sebelum mengambil langkah seterusnya mengikut perjanjian itu.
Menurut Anutin, urutan langkah yang perlu dilakukan bermula dengan penarikan keluar senjata berat dari kawasan sempadan, diikuti dengan operasi pembersihan periuk api, pembanterasan sindiket penipuan dalam talian, serta penyelesaian isu pencerobohan tanah.
Beliau menegaskan bahawa penarikan keluar senjata berat akan diselia oleh wakil ASEAN.
“Thailand bukan pihak yang melanggar gencatan senjata, jadi semua tindakan mesti dimulakan oleh Kemboja,” katanya sambil menambah bahawa kedua-dua angkatan tentera akan berkoordinasi melalui mekanisme dua hala, dan operasi seterusnya seperti pembersihan periuk api juga akan dipantau oleh pasukan pemerhati ASEAN.
Anutin berkata fasa terakhir melibatkan usaha kedua-dua negara membanteras sindiket penipuan dalam talian serta menyelesaikan isu pencerobohan di Ban Nong Chan dan Ban Nong Ya Kaeo di wilayah Sa Kaeo.
Hanya selepas semua isu keselamatan diselesaikan dan hubungan dinormalkan, pintu sempadan akan dibuka semula, tambahnya.














