ASIA
2 min membaca
Anwar beri jaminan kerajaan bendung impak kenaikan harga minyak
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata walaupun harga minyak mentah Brent melonjak ke paras AS$100 setong, kerajaan setakat ini masih mengekalkan harga bahan api BUDI95 pada kadar RM1.99 seliter.
Anwar beri jaminan kerajaan bendung impak kenaikan harga minyak
Perdana Menteri Anwar Ibrahim menghadiri Perhimpunan Bulanan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup. / Foto: Pejabat Perdana Menteri / Other
13 jam yang lepas

Kerajaan memberi jaminan akan mengambil segala langkah perlu bagi mengurangkan kesan kenaikan harga minyak global susulan konflik yang semakin meruncing di Timur Tengah.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata walaupun harga minyak mentah Brent melonjak ke paras AS$100 setong, kerajaan setakat ini masih mengekalkan harga bahan api BUDI95 pada kadar RM1.99 seliter.

"Harga minyak mentah Brent hari ini satu tong sudah naik AS$100. Kita masih bertahan dengan RM1.99 untuk BUDI95 dan kita akan jalankan ikhtiar semaksimum mungkin supaya tidak membebankan rakyat," katanya di Putrajaya hari ini.

Selat Hormuz ketika ini berdepan gangguan besar di mana kira-kira 300 kapal tangki yang membawa minyak, gas, dan barangan keperluan terkandas.

Jelas beliau, pengeluar utama termasuk Qatar telah menghentikan sebahagian pengeluaran, sekali gus menjejaskan perdagangan global serta meningkatkan kos pengangkutan secara mendadak.

Menyentuh situasi geopolitik, beliau menegaskan keperluan untuk Malaysia bersikap hemat dalam pengurusan bajet bagi mendepani kekangan ekonomi.

Tambah Anwar, beliau akan mengadakan perbincangan menerusi panggilan telefon dengan Emir Kuwait dan pemimpin-pemimpin negara lain hari ini bagi membincangkan krisis berkenaan secara mendalam.

Sambil mengakui hak Iran untuk mempertahankan kedaulatan negara, Anwar melahirkan kebimbangan terhadap kesan limpahan konflik yang kini mula menjejaskan kawasan awam dan negara-negara jiran seperti Turkiye dan Azerbaijan.

Beliau juga menegaskan pendirian konsisten Malaysia yang menentang sebarang bentuk keganasan serta cubaan untuk menggugat kestabilan negara lain.

"Sebab itu, kita juga antara yang terpanggil untuk menghubungi Iran dan negara sahabat untuk menyatakan sokongan kita kepada Iran dalam mempertahanan negara itu konsisten dengan pendirian Malaysia selama ini," tambahnya lagi.

SUMBER:TRT Global