Syarikat penerbangan di Asia mencatatkan lonjakan tambang yang drastik sehingga 900 peratus bagi sesetengah laluan susulan gangguan ruang udara yang meluas di Asia Barat.
Laporan Bloomberg mendedahkan krisis yang dicetuskan oleh serangan ke atas Iran telah memaksa syarikat penerbangan serantau menaikkan harga tiket bagi menampung peralihan mendadak permintaan penumpang global.
Syarikat gergasi seperti Singapore Airlines dan Cathay Pacific kini menjadi pilihan utama buat penumpang yang cuba keluar dari Asia Barat selepas banyak syarikat penerbangan Timur Tengah menggantung operasi.
Gangguan ini menyaksikan harga tiket sehala kelas ekonomi dari London ke Singapura melonjak mencecah AS$8,540 (sekitar RM33,700), berbanding harga biasa yang jauh lebih rendah.
Data daripada OAG Aviation menunjukkan penggantungan penerbangan oleh syarikat seperti Emirates, Qatar Airways, dan Etihad melenyapkan lebih 10 peratus kapasiti antarabangsa harian.
Hab utama seperti Dubai, Abu Dhabi, dan Doha yang biasanya mengendalikan sepertiga daripada 125 juta penumpang tahunan antara Eropah dan Asia, kini berdepan kelumpuhan operasi buat sementara waktu.
Pakar penerbangan berpendapat walaupun syarikat penerbangan Asia mendapat keuntungan jangka pendek daripada hasil kargo dan tambang tinggi, situasi itu hanyalah agihan semula trafik dan bukannya anjakan struktur rangkaian global.
Jika ketegangan mula reda, syarikat penerbangan Timur Tengah dijangka akan menyambung semula perkhidmatan dengan pantas memandangkan peranan kritikal mereka dalam perdagangan antarabangsa.
Di Thailand, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam (CAAT) melaporkan lapan syarikat penerbangan Timur Tengah telah membatalkan penerbangan mereka, sekali gus menyebabkan harga tiket ke Eropah melambung dua kali ganda.
Sebagai contoh, tambang sehala Thai Airways bagi laluan Bangkok-London kini melebihi 70,000 baht (RM8,700) berbanding purata biasa 30,000 baht (RM3,700), dengan status tempahan dilaporkan penuh sehingga minggu depan.
Ketua Pegawai Eksekutif Thai Airways Chai Eamsiri mengesahkan bahawa tempahan bagi laluan terus ke Eropah meningkat mendadak apabila penumpang beralih daripada penerbangan transit di Timur Tengah.
Selain penerbangan komersial yang hampir penuh, syarikat itu turut menerima peningkatan permintaan bagi penerbangan sewa khas (charter) daripada sektor swasta tempatan dan luar negara.











