Jualan motosikal elektrik (EV) di Mandalay, Myanmar melonjak dengan drastik susulan krisis kekurangan bahan api yang berlarutan, sehingga menyebabkan banyak premis kehabisan stok dalam tempoh singkat, lapor Eleven Media.
Kesukaran mendapatkan petrol dan terpaksa berbaris panjang di stesen minyak memaksa penduduk beralih kepada kenderaan elektrik sebagai alternatif.
Menurut pengedar tempatan, permintaan ke atas motosikal EV yang dahulunya perlahan, kini berubah sekelip mata sehingga ada kedai yang kehabisan seluruh inventori hanya dalam masa beberapa jam.
Malah, ramai pelanggan sanggup membuat tempahan awal atau membayar deposit demi memastikan mereka tidak terlepas bekalan seterusnya.
Suasana di pusat jualan motosikal sekitar Mandalay dilaporkan sesak dengan pembeli yang berpusu-pusu.
"Orang ramai berebut-rebut masuk ke kedai untuk mendapatkan unit yang ada. Ada yang terus memegang motosikal tersebut dan enggan melepaskannya bagi memastikan ia menjadi milik mereka," kongsi seorang peniaga di media sosial.
Disebabkan permintaan luar biasa ini, sebilangan kedai terpaksa ditutup sementara kerana tidak mampu menguruskan kesesakan pelanggan yang mula menunggu seawal jam 6 pagi.
Walaupun peniaga cuba mengekalkan harga normal, masalah utama kini adalah kegagalan pihak pembekal dan syarikat pengeluar untuk menampung keperluan pasaran yang mendadak.
Seorang pembeli menceritakan pengalamannya yang gagal mendapatkan unit selepas hanya sejam meninggalkan kedai untuk meninjau pilihan warna lain.
"Apabila saya kembali, semuanya sudah terjual. Pasaran kini sangat kompetitif dan sesiapa yang terlewat pasti akan pulang dengan tangan kosong," katanya.
Trend tersebut tertumpu kepada unit baharu kerana faktor jaminan bateri, menyebabkan pasaran motosikal EV terpakai kekal lemah.
Buat masa ini, penunggang motosikal petrol terpaksa beratur kira-kira dua jam di stesen minyak hanya untuk mendapatkan bekalan bahan api yang dihadkan kepada nilai sekitar 5,000 kyat sahaja bagi setiap pembelian.











