Malaysia Airlines mengumumkan penyediaan penerbangan tambahan antara Kuala Lumpur ke London Heathrow (LHR) dan Paris Charles de Gaulle (CDG) bermula 6 hingga 8 Mac 2026.
Langkah itu diambil bagi menyokong penumpang yang terkesan susulan gangguan berterusan dalam rangkaian perjalanan global ketika ini.
“Dengan mengerahkan kapasiti pesawat badan lebar tambahan antara Asia dan Eropah, syarikat penerbangan nasional itu menyasarkan untuk membantu menyatukan semula keluarga serta melancarkan perjalanan yang tergendala,” kata Malaysia Airlines dalam kenyataan pada Jumaat.
Menurut syarikat penerbangan tersebut, inisiatif itu juga bertujuan memberikan jaminan serta kesinambungan buat penumpang di tengah-tengah ketidaktentuan geopolitik dunia.
Kesemua perkhidmatan berkenaan akan beroperasi menggunakan laluan alternatif yang telah dirancang dengan teliti bagi mengelak kawasan bergolak.
Malaysia Airlines menegaskan bahawa aspek keselamatan tetap menjadi keutamaan tertinggi syarikat itu dalam setiap pengoperasiannya.
Selain mengekalkan perkhidmatan harian sedia ada, penerbangan tambahan ini akan dikendalikan menggunakan pesawat Airbus A350-900.
“Langkah proaktif ini merupakan sebahagian daripada komitmen syarikat untuk meminimumkan impak gangguan terhadap jadual perjalanan penumpang,” tambah kenyataan itu.
Malaysia Airlines turut memaklumkan pihaknya sedang bekerjasama rapat dengan rakan kongsi penerbangan di seluruh Eropah dan Asia.
Kerjasama itu, katanya, penting bagi memudahkan sambungan perjalanan seterusnya untuk penumpang yang terjejas disebabkan gangguan di bahagian lain dalam rangkaian global.












