ASIA
2 min membaca
ASEAN gesa Kemboja, Thailand henti permusuhan, kembali ke meja rundingan
Mohamad berkata mesyuarat itu turut menyokong penyambungan semula kerjasama pelupusan periuk api kemanusiaan dan pelaksanaan menamatkan serangan ketenteraan di sempadan, di bawah pemantauan Pasukan Pemerhati ASEAN (AOT).
ASEAN gesa Kemboja, Thailand henti permusuhan, kembali ke meja rundingan
Mohamad berkata menteri-menteri luar ASEAN menyambut baik perbincangan gencatan senjata. / Foto: FB Mohamad Hasan / Other
22 Disember 2025

Menteri-menteri luar ASEAN menggesa Kemboja dan Thailand supaya menunjukkan kawalan maksimum serta mengambil langkah segera bagi menghentikan segala bentuk permusuhan yang berterusan di sepanjang sempadan kedua-dua negara, lapor Bernama.

Menteri Luar Mohamad Hasan berkata gesaan itu disuarakan semasa Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM Khas) di Kuala Lumpur hari ini, yang turut menggalakkan kepercayaan bersama dipulihkan, kembali ke meja rundingan, menggunakan mekanisme dua hala serta khidmat Pengerusi ASEAN bagi mencapai penyelesaian yang aman dan berkekalan.

Beliau berkata mesyuarat itu turut menyokong penyambungan semula kerjasama pelupusan periuk api kemanusiaan dan pelaksanaan menamatkan serangan ketenteraan di sempadan, di bawah pemantauan Pasukan Pemerhati ASEAN (AOT).

“Mesyuarat mengesahkan komitmen bersama untuk menahan diri daripada ancaman atau penggunaan kekerasan, menyelesaikan pertikaian secara aman serta menghormati sempadan antarabangsa dan undang-undang antarabangsa demi keamanan, keselamatan, kestabilan dan kemakmuran serantau,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat berkenaan.

Mohamad berkata menteri-menteri luar ASEAN turut mengalu-alukan perbincangan mengenai penyambungan semula gencatan senjata dan pemberhentian permusuhan.

Beliau turut memaklumkan Mesyuarat Jawatankuasa Sempadan Am (GBC) seterusnya dijadualkan berlangsung pada 24 Disember bagi membincangkan pelaksanaan dan pengesahan gencatan senjata.

Beliau menambah mesyuarat itu menyuarakan kebimbangan terhadap ketegangan dan keganasan berterusan yang mengakibatkan kematian, kerosakan infrastruktur awam serta pemindahan penduduk di kedua-dua sisi sempadan.

Mohamad juga menegaskan keperluan memastikan orang awam dapat kembali ke rumah dan kehidupan asal mereka dengan selamat dan bermaruah.

AMM Khas yang berlangsung lebih dua jam itu turut menegaskan perpaduan, solidariti dan peranan teras ASEAN selaras dengan Piagam ASEAN, serta mengulangi komitmen terdahulu termasuk pengaturan gencatan senjata 28 Julai, keputusan Mesyuarat Luar Biasa GBC pada 7 Ogos dan Deklarasi Bersama Kuala Lumpur 26 Oktober, dengan kehadiran menteri-menteri luar negara anggota, Sekretariat ASEAN dan Setiausaha Agung ASEAN Kao Kim Hourn.