Rundingan Kod Tatalaku (COC) Laut China Selatan kini berada di peringkat akhir untuk dimuktamadkan, dan Malaysia yakin ia dapat diselesaikan tahun ini, kata Menteri Luar Mohamad Hasan.
Katanya, rundingan kini sudah mencapai kira-kira 70 peratus persetujuan dan Malaysia, selaku negara penyelaras rundingan dengan China, memainkan peranan aktif melalui penglibatan di peringkat ASEAN serta perbincangan teknikal melibatkan pegawai kanan.
Mohamad berkata COC itu bertujuan untuk memastikan Laut China Selatan kekal sebagai laluan perdagangan yang bebas, selamat dan boleh digunakan oleh semua pihak.
“Perkembangannya sangat baik dan kita jangka COC dapat disiapkan tahun ini. Namun perlu difahami, COC bukan untuk menyelesaikan tuntutan wilayah bertindih, yang mesti ditangani melalui mekanisme dua hala atau pelbagai hala,” katanya di Dewan Rakyat pada Khamis.
Mohamad berkata ASEAN sejak sekian lama bergantung kepada instrumen utama untuk mengurus Laut China Selatan, termasuk Deklarasi Tatakelakuan Pihak-Pihak di Laut China Selatan (DOC) yang ditandatangani pada 2002, serta usaha berterusan untuk merangka COC yang lebih terperinci.
Katanya, perairan itu kini semakin sibuk dan mendapat perhatian pelbagai pihak susulan tuntutan bertindih di beberapa kawasan.
Antara komponen utama DOC dan COC, jelas beliau, ialah prinsip dan objektif tingkah laku di laut berkenaan, langkah membina keyakinan bagi menjamin keselamatan dan keterbukaan perairan kepada semua, serta keperluan menahan diri daripada tindakan yang boleh meningkatkan ketegangan.
Beliau turut memaklumkan Malaysia dan China telah menubuhkan mekanisme perbincangan melalui kumpulan kerja bersama di bawah Mesyuarat Pegawai Kanan COC, dengan kebanyakan terma sudah dipersetujui.
“Dalam rundingan antarabangsa, dokumen seperti ini memerlukan penelitian rapi bagi memastikan kedaulatan negara tidak terjejas. Alhamdulillah, hanya tinggal beberapa perenggan sahaja yang masih dibincangkan,” katanya.
Laut China Selatan kekal sebagai antara laluan perdagangan paling sibuk di dunia dan kaya dengan sumber asli, namun berdepan ketegangan akibat tuntutan bertindih.
China menuntut hampir keseluruhan perairan itu melalui ‘sembilan garis putus-putus’, tuntutan yang ditolak oleh tribunal antarabangsa pada 2016, namun Beijing tidak menerima keputusan berkenaan.











