Filipina dijangka meneruskan momentum kepimpinan pengerusi ASEAN sebelum ini dengan memberi tumpuan kepada tiga teras utama blok serantau itu — keamanan dan keselamatan, kemakmuran, serta pemerkasaan rakyat — selain memperkukuh agenda sosiobudaya apabila negara itu mengambil alih jawatan Pengerusi ASEAN bagi tahun 2026.
Filipina secara rasmi memegang jawatan Pengerusi ASEAN pada Khamis (1 Jan), dengan penganalisis menekankan kepentingan kesinambungan, kesatuan dan penglibatan luaran yang berkesan dalam berdepan ketidaktentuan geopolitik dan ekonomi yang semakin meningkat.
Setiausaha Agung ASEAN Kao Kim Hourn berkata tema dipilih Filipina, “Navigating Our Future, Together”, mencerminkan keperluan berterusan rantau itu terhadap perpaduan serta kerjasama luar yang berkesan, menurut laporan Bernama.
Beliau berkata Manila dijangka akan membina kemajuan yang dicapai pengerusi terdahulu dengan mengekalkan fokus kepada tiga tonggak utama Komuniti ASEAN serta agenda keterhubungan serantau.
Kao turut berkata Filipina berada pada kedudukan baik untuk memacu usaha ASEAN dalam bidang kecerdasan buatan dan transformasi digital, termasuk merapatkan jurang digital, memperkukuh kerjasama keselamatan siber, membangunkan ekonomi digital ASEAN serta memuktamadkan Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN.
Sementara itu, Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi) Pusat Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia Profesor Madya Dr Siti Darwinda Mohamed Pero berkata Filipina dijangka memberi penekanan lebih besar kepada agenda sosiobudaya ASEAN, selari dengan kekuatan tradisinya dalam inisiatif berteraskan rakyat.
Beliau berkata ulang tahun ke-50 Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama pada 2026 juga membuka ruang untuk menonjolkan tema persahabatan, identiti bersama dan solidariti serantau.
Bagaimanapun, Felo Majlis Profesor Negara dan pakar geostrategi Azmi Hassan berkata tumpuan turut diberikan terhadap cara Filipina mengendalikan isu-isu sensitif serantau, khususnya Laut China Selatan, memandangkan hubungan rapat Manila dengan Amerika Syarikat.
Beliau berkata bagaimana keseimbangan itu diurus di peringkat ASEAN “masih perlu diperhatikan” sepanjang tempoh 12 bulan akan datang.













