ASIA
2 min membaca
Anutin tolak cadangan rundingan, mahu Kemboja patuh syarat Thailand
Anutin menafikan laporan media asing yang mendakwa Thailand melepaskan tembakan pertama dan menegaskan bahawa negaranya adalah negara yang mencintai keamanan tetapi diganggu oleh provokasi Kemboja.
Anutin tolak cadangan rundingan, mahu Kemboja patuh syarat Thailand
(FAIL) Anutin juga enggan memberikan jangka masa penyelesaian, dengan alasan isu strategi ketenteraan tidak boleh didedahkan. / Reuters
9 Disember 2025

Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri Thailand, Anutin Charnvirakul menegaskan pendirian tegas kerajaannya susulan peningkatan konflik di sempadan Thailand–Kemboja, selepas mendakwa pasukan Kemboja melepaskan tembakan pertama, lapor The Nation.

Bercakap di Rumah Kerajaan di Bangkok pada Isnin, Anutin berkata krisis sempadan tidak akan selesai melalui rundingan, sambil menambah tindakan ketenteraan Thailand bertujuan menunjukkan dengan jelas bahawa kedaulatan negaranya tidak boleh dicabar.

“Ini bukan isyarat, ini adalah respons untuk menegaskan bahawa mereka tidak boleh menggugat kedaulatan Thailand,” katanya sambil menegaskan bahawa segala rundingan dihentikan dan pertempuran hanya akan berakhir jika Kemboja mengikut syarat yang ditetapkan Thailand.

Ditanya sama ada operasi ketenteraan perlu diteruskan sehingga keputusan muktamad dicapai, beliau berkata angkatan bersenjata sudah mempunyai perancangan sendiri.

Anutin juga enggan memberikan jangka masa penyelesaian, dengan alasan isu strategi ketenteraan tidak boleh didedahkan.

Ditanya mengenai deklarasi bersama yang pernah ditandatangani dengan Kemboja di Malaysia, dan sama ada ia terpakai dalam konteks sekarang, Anutin berkata: “Tidak. Saya tidak ingat.”

Anutin menafikan laporan media asing yang mendakwa Thailand melepaskan tembakan pertama dan menegaskan bahawa negaranya adalah negara yang mencintai keamanan tetapi diganggu oleh provokasi Kemboja.

Beliau berkata Thailand telah mengemukakan bukti di pelbagai peringkat antarabangsa bahawa ia bukan pihak penceroboh dan tidak akan membenarkan sesiapa menceroboh wilayahnya.

Beliau menambah bahawa isu politik domestik tidak ada kaitan dengan pengendalian krisis sempadan dan menegaskan tugasnya sebagai ketua kerajaan ialah mempertahankan wilayah serta kedaulatan Thailand.

Anutin turut berkata beliau tidak berhubung dengan Presiden AS Donald Trump atau Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim mengenai insiden tersebut, dan menegaskan bahawa konflik ini kekal sebagai isu dua hala.