Kredibiliti peranan ASEAN dalam mengurus konflik serantau terus diuji apabila tentera Thailand didakwa meneruskan bedilan ke atas wilayah dan kawasan awam Kemboja, walaupun Mesyuarat Khas Menteri-Menteri ASEAN di Malaysia diadakan bagi meredakan ketegangan, lapor The Phnom Penh Post.
Kementerian Pertahanan Kemboja berkata serangan berterusan pada 22 dan 23 Disember itu menandakan hari ke-17 berturut-turut permusuhan dua negara jiran itu, sekali gus melanggar gencatan senjata serta Deklarasi Bersama yang ditandatangani oleh perdana menteri kedua-dua negara pada 26 Oktober lalu.
Menurut kementerian itu, di Wilayah Ketenteraan Keempat yang melibatkan wilayah Oddar Meanchey dan Preah Vihear, tentera Thailand melepaskan tembakan artileri dan kereta kebal bermula tengah malam hingga pagi Selasa menyasarkan kawasan sekitar Kuil Ta Mone, Kuil Preah Vihear dan Ta Thav,.
Pertempuran turut dilaporkan di Wilayah Ketenteraan Kelima termasuk di Banteay Meanchey, Battambang dan Pursat, apabila bedilan Thai menghentam kawasan perumahan padat di Poipet pada malam Isnin, diikuti serangan suar, sebelum serangan bersambung pada awal pagi di kawasan awam.
Kemboja menuduh serangan itu sengaja menyasarkan kawasan awam, berbeza dengan pendiriannya bahawa hak mempertahankan diri hanya digunakan terhadap sasaran ketenteraan.
Setakat jam 6 petang Isnin, sekurang-kurangnya 21 orang awam Kemboja, termasuk seorang bayi, dilaporkan terbunuh manakala 83 lagi cedera.
Dalam satu kenyataan, Phnom Penh mendakwa Thailand menggunakan senjata berat termasuk jet pejuang F-16, dron, bom kelompok dan asap beracun, serta menempatkan tentera di dalam wilayah Kemboja, yang disifatkan sebagai pelanggaran jelas Piagam PBB, Piagam ASEAN dan undang-undang antarabangsa.
Thailand pula mendakwa ia belum menerima cadangan rasmi, dengan Jawatankuasa Sempadan Am kedua-dua negara dijadual bermesyuarat pada Rabu bagi membincangkan pelaksanaan dan pengesahan gencatan senjata, selaras dengan gesaan menteri-menteri luar ASEAN agar orang awam dapat kembali ke rumah mereka dengan selamat dan bermaruah.











