Seramai 744 peserta di bawah program Malaysia My Second Home (MM2H) telah membeli hartanah di negara ini, dengan pembeli tertinggi datang dari rakyat China, Taiwan dan Singapura, kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Tiong King Sing.
Beliau berkata seramai 2,637 peserta lagi kini dalam proses memperoleh kediaman, termasuk memuktamadkan perjanjian jual beli.
Sehingga 31 Disember 2025, warganegara China merekodkan pembelian tertinggi dengan 304 unit, diikuti Taiwan (91) dan Singapura (63).
“Pembeli lain termasuk Amerika Syarikat (41), United Kingdom (40), Hong Kong (34), Australia (29), Bangladesh (19), Korea Selatan (15), Indonesia (14) dan Jepun (14),” katanya ketika menjawab soalan di Dewan Rakyat hari ini.
Tiong menjelaskan program MM2H tidak memberikan kewarganegaraan atau taraf penduduk tetap, sebaliknya menawarkan pas lawatan sosial jangka panjang dengan kemudahan visa masuk yang membenarkan mereka tinggal di Malaysia untuk tempoh antara lima hingga 20 tahun.
Menurutnya, MM2H dibahagikan kepada empat kategori iaitu Platinum, Gold, Silver dan Zon Ekonomi Khas, dengan setiap pas sah selama lima tahun bagi setiap kitaran dan boleh diperbaharui sehingga tempoh maksimum kategori berkenaan.
Mengulas kebimbangan terhadap penyertaan tinggi dari China dan Taiwan, Tiong menegaskan MM2H terbuka kepada pemohon dari seluruh dunia dan usaha memperluas capaian akan dipertingkat.
Beliau berkata program itu juga mendapat perhatian pemohon dari negara-negara Arab, walaupun jumlah mereka yang menyertai skim itu masih kecil.













