Seramai 31 mayat telah ditemui setakat ini — 22 di perairan Malaysia dan sembilan di Thailand — selain 14 mangsa yang terselamat, selepas bot yang membawa pelarian Rohingya karam baru-baru ini, lapor The Star.
Operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan.
Bot yang dipercayai membawa lebih 70 pendatang tanpa izin itu karam berhampiran perairan Tarutao, Thailand, kira-kira empat hingga lima batu nautika dari sempadan maritim Malaysia ketika keadaan laut bergelora musim monsun.
Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata keutamaan ketika ini adalah untuk menyelamatkan nyawa, manakala urusan perundangan serta siasatan akan menyusul kemudian.
Beliau berkata operasi melibatkan pelbagai agensi Malaysia dan Thailand, termasuk Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia serta polis marin.
Kesemua mayat telah dibawa ke Hospital Sultanah Maliha, Langkawi untuk dibedah siasat, namun proses tersebut dijangka mengambil masa berikutan fasiliti yang terhad.
Mangsa yang terselamat menerima rawatan dan kini berada dalam tahanan polis bagi membantu siasatan, termasuk mengenal pasti asal-usul perjalanan, jumlah sebenar penumpang serta kemungkinan penglibatan sindiket.
Siasatan awal mendapati bot berkenaan mungkin datang dari sebuah ‘mothership’ sebelum penumpang dipindahkan ke bot-bot kecil ketika menghampiri perairan Malaysia.
Saifuddin berkata Langkawi kekal sebagai lokasi pendaratan paling panas, dengan 217 kes direkodkan tahun ini berbanding hanya 11 pada 2023.
Beliau menegaskan semua agensi keselamatan telah diarahkan meningkatkan kesiapsiagaan, dengan APMM bakal diperkukuh melalui aset baharu termasuk helikopter, kapal, bot, dron dan sistem radar.
Malaysia turut memperhebat kerjasama serantau melalui Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN Mengenai Jenayah Rentas Sempadan, merangkumi operasi bersama dan perkongsian risikan.













