Tony Blair, yang diingati sebagai individu yang mengheret Britain ke dalam Perang Iraq, tidak sepatutnya terlibat dalam sebarang usaha pembinaan semula Gaza, kata Ahli Parlimen United Kingdom Jeremy Corbyn.
Bercakap kepada media pada Selasa, Corbyn diminta mengulas mengenai keputusan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump untuk melibatkan Blair dalam rangka kerja damai Gaza — langkah yang dilihat oleh pengkritik sebagai tidak produktif.
“Saya tidak rasa Tony Blair patut berada dekat dengan Gaza, apatah lagi dalam pembinaan semula Gaza.
“Tony Blair ialah Perdana Menteri Britain yang membawa kita ke dalam Perang Iraq, dan Siasatan Chilcot (Iraq Inquiry) telah mendedahkan proses yang diambil beliau dalam membuat keputusannya — termasuk penipuan mengenai senjata pemusnah yang tidak wujud.
“Satu-satunya pihak yang sepatutnya menentukan masa depan pembinaan semula Gaza ialah rakyat Palestin sendiri,” katanya.
Corbyn berkata demikian semasa menghadiri Kuala Lumpur Conference On A New Just and Humane International Order 2025 di Kuala Lumpur.
Turut hadir ialah Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said.
Siasatan Chilcot yang diterbitkan pada 2016 menyimpulkan bahawa United Kingdom berperang di Iraq sebelum semua pilihan damai digunakan sepenuhnya, selain turut mengkritik alasan yang digunakan untuk pencerobohan tersebut.
Ketika ditanya mengenai prospek memupuk keamanan global, Corbyn berkata kini adalah peluang untuk negara-negara ASEAN untuk menegaskan perpaduan dan keadilan mereka.
“Ia peluang yang baik untuk negara-negara ASEAN menunjukkan semangat perpaduan mereka dan juga hakikat bahawa mereka semua, pada satu ketika, pernah dijajah oleh Eropah Barat dan, dalam kes Vietnam, menanggung kerosakan paling teruk akibat peperangan,” katanya.
Beliau menambah bahawa negara-negara ASEAN perlu menggunakan peluang itu untuk menonjolkan kesan dasar perdagangan yang tidak menentu.
“Ia peluang untuk negara-negara ASEAN bercakap dengan Presiden Trump dan menerangkan kepadanya bagaimana negara-negara ini telah berkembang, seperti Malaysia, serta membincangkan masalah akibat pengenaan tarif secara rawak ke atas pelbagai negara yang mengganggu perdagangan, pekerjaan, industri dan masa depan.
“Bagaimana seseorang boleh merancang masa depan dalam mana-mana perniagaan atau industri jika mereka tidak tahu apakah kadar tarifnya — sedangkan bagi banyak syarikat, pasaran itu masih merupakan pasaran utama mereka?” katanya.













