Fokus Hari Ini | 22 Oktober
00:00
00:0000:00
Dunia
Fokus Hari Ini | 22 Oktober
Naib Presiden AS yakin dengan gencatan senjata Gaza, elak letak tempoh untuk Hamas lucut senjata. UK tamatkan larangan untuk Hayat Tahrir al Sham susulan hubungan baik dengan kerajaan baharu Syria.
22 Oktober 2025

JD Vance enggan tetap tempoh untuk Hamas letak senjata

Naib Presiden AS JD Vance berkata beliau tidak akan menetapkan tarikh spesifik untuk kumpulan pejuang Palestin, Hamas, melucutkan senjata disebabkan keadaan yang tidak menentu. Bercakap di Israel, Vance berkata Hamas mesti mematuhi perjanjian gencatan senjata, tetapi enggan menyatakan bila Washington mungkin akan mengambil tindakan. Beliau berkata pelaksanaan gencatan senjata Gaza kini berjalan lebih baik daripada apa yang dijangka. Vance turut menyatakan keyakinan dan menegaskan bahawa kemajuan memerlukan "usaha dan penyeliaan yang berterusan." Beliau juga mengulangi bahawa AS tidak akan mengerahkan tenteranya ke Gaza, tapi sebaliknya mengehadkan penglibatannya untuk kerja-kerja penyelarasan.

Presiden Erdogan hadir perbincangan di Doha dalam lawatan rasmi ke negara Teluk

Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan kini berada di Doha untuk lawatan rasmi atas jemputan Emir Qatar Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani untuk mengukuhkan hubungan dua hala dan membincangkan isu serantau. Qatar adalah persinggahan kedua untuk Presiden Turki itu selepas Kuwait, di mana kedua-dua negara menandatangani beberapa perjanjian, termasuk perjanjian maritim. Presiden Erdogan dijadualkan bertemu Emir Qatar untuk rundingan dua hala dan menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Strategik Tinggi Türkiye-Qatar, di mana perjanjian kerjasama akan dimeterai. Selepas ini, Presiden Turki itu dijadual mengunjungi Oman.

Netanyahu pecat pembantunya susulan konflik mengenai dasar Gaza dan Qatar

Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu memecat Penasihat Keselamatan Negara Tzachi Hanegbi berikutan pertikaian mengenai dasar utama, termasuk serangan udara di Qatar dan serangan di Bandar Gaza. Serangan di Doha pada 9 September membunuh lima anggota Hamas dan seorang pegawai Qatar, sekali gus mengundang kecaman global. Hanegbi mengesahkan pemecatannya, dan menggesa siasatan penuh terhadap kegagalan Israel semasa serangan Hamas pada 7 Oktober. Media Israel melaporkan Hanegbi menentang pendudukan Gaza, sambil memberi amaran bahawa tindakan itu membahayakan nyawa tebusan. Gil Reich dinamakan sebagai pemangku penasihat.

AS dan China boleh menjadi kawan, rakan kongsi, kata VP Han Zheng

Naib Presiden China Han Zheng menggesa “kerjasama dan persahabatan” dengan Amerika Syarikat menjelang pertemuan yang dijadualkan antara Presiden Xi Jinping dan Donald Trump di Korea Selatan. Bercakap dengan Presiden Senat untuk Oregon, Rob Wagner, Han berkata China dan AS "boleh dan harus" menjadi rakan kongsi, sambil memetik kepentingan bersama dan prospek kerjasama yang meluas. Beliau menyeru agar kedua-dua pihak saling menghormati satu sama lain bagi mewujudkan kerjasama yang menguntungkan semua. Wagner mengesahkan komitmen Oregon untuk memperhebatkan kerjasama subnasional dan mengukuhkan hubungan mesra dengan China.

UK tarik larangan Hayat Tahrir al Sham sebagai organisasi pengganas

UK telah secara rasmi mengeluarkan Hayat Tahrir al-Sham daripada senarai organisasi pengganas yang dilarang, memetik usaha untuk bekerjasama dengan kerajaan baharu Syria selepas pemerintahan diktator Bashar al Assad jatuh pada tahun lalu. Pejabat Dalam Negeri berkata langkah itu menyokong pencegahan keganasan, pengurusan migrasi, dan penghapusan senjata kimia. London menyifatkannya sebagai sebahagian daripada diplomasi yang diperbaharui, berikutan lawatan Setiausaha Luar David Lammy pada Julai ke Damsyik. Pegawai kerajaan berkata keputusan itu adalah hasil rundingan yang meluas dan mungkin akan dikaji semula jika terdapat ancaman baharu. 83 kumpulan kekal diharamkan.

Audio lain
Fokus Hari Ini | 11 Februari
Visa Iklim: Antara Pemindahan dan Pencegahan
Keperluan Kawan Sebenar
Ramalan Gempa Bumi: Mengapa Sains Masih Tidak Boleh Meramal Kedatangan Gempa Besar
Mempersenjatakan Kelaparan: Dari Kolonialisme Britain ke Gaza Hari Ini
Superman Kembali – Kali Ini Mirip Keadaan di Gaza
Bola Sepak Membawa Perubahan
Buruh Kanak-Kanak Jadi Tular. Kita Tengok Je?
Politik Nuklear Global: Siapa Layak Memiliki Bom?
Iman Jadi Sasaran