Bola Sepak Membawa Perubahan
08:51
08:51
Bola Sepak Membawa Perubahan
Dipromosikan oleh jurulatih kepada bintang Argentina Diego Maradona, kelab Villas Unidas menghimpunkan pemain dari kawasan kejiranan terpinggir di Buenos Aires, kini menjadi alat untuk merapatkan jurang sosial.
18 September 2025

Argentina merupakan juara Piala Dunia FIFA 2022.

Dan ia adalah tanah kelahiran ikon bola sepak seperti Lionel Messi dan Diego Maradona. Sekilas pandang, kejayaan mereka kelihatan seolah-olah lahir dari padang latihan elit dan jurulatih ternama. Namun kawasan setinggan di Buenos Aires menceritakan kisah yang berbeza.

Anda sedang mendengar Santapan Minda oleh TRT Global Podcasts. Rancangan ini menampilkan artikel-artikel TRT Global dalam bentuk audio. Dalam episod ini, kami mengadaptasi artikel bertajuk “Villas Unidas, the women's soccer club that rescues values ​​in poor neighbourhoods of Argentina,” oleh Agustín Gulman, yang pertama kali diterbitkan pada 9 Julai 2025

Selama lebih 20 tahun, Fernando Signorini, jurulatih kecergasan Maradona yang paling lama, mahu menubuhkan sebuah kelab yang mewakili kawasan berpendapatan rendah di Argentina.

Sebuah negara yang mana pemain bola sepak terhebatnya—seperti Maradona, Carlos Tevez dan Sergio Agüero—lahir dari kawasan seperti ini. Namun, walaupun mereka terkenal di mata dunia, komuniti asal mereka jarang menikmati hasil kejayaan mereka.

Justeru, pada 2018, Signorini menubuhkan Villas Unidas—yang bermaksud “Setinggan Bersatu.” Matlamatnya ialah menggunakan sukan sebagai alat penyertaan dan transformasi sosial dalam komuniti terpinggir. Tujuh tahun selepas ia ditubuhkan, kelab ini berjaya menyertai kejohanan profesional tempatan. Tetapi perjuangan mereka masih panjang. Kelab ini masih tidak mempunyai kemudahan sendiri, sumber yang sangat terhad, dan pemain tidak mampu menyara hidup hanya melalui sukan.

Bagi Signorini, kelab ini perlu menjadi platform untuk menyediakan anak muda dengan pendidikan yang membolehkan mereka menyertai dan berkembang dalam masyarakat. Beliau menjemput organisasi sosial dan pendidik, termasuk César Luis Menotti—jurulatih yang membawa Argentina menjuarai Piala Dunia pertamanya pada 1978—untuk berkongsi kepakaran mereka dalam latihan di Villas Unidas.

Sebaik sahaja institusi ini ditubuhkan pada 2018, mereka memutuskan untuk bertanding dalam kategori bola sepak wanita dan kemudian memasukkan pasukan remaja. Setahun kemudian, Persatuan Bola Sepak Argentina (AFA) memberi perhatian dan menjemput kelab ini menyertai liga Primera C, divisyen ketiga bola sepak wanita, yang mereka sertai sehingga kini. Bagi Signorini, ini adalah langkah penting. Pengiktirafan ini membuka pintu baharu yang membolehkan pemain menerima status rasmi dan hak ekonomi.

Ini kata-kata Signorini, yang menyuarakan kehairanannya tentang ke mana perginya wang yang dijana kelab tidak berdaftar di bawah persekutuan selama ini.

Katanya, wang itu tidak kembali kepada komuniti asal pemain, dan sebab itulah idea utama Villas Unidas ialah untuk membawa kembali pendapatan itu kepada masyarakat.

Dalam sukan yang secara tradisinya didominasi oleh lelaki, mencari pemain wanita bukanlah perkara mudah. Walter Gómez, salah seorang pengasas Villas Unidas dan kini presidennya, mengimbas bagaimana mereka perlu meyakinkan wanita bahawa mereka juga boleh menjadi atlet profesional.

Gómez menjelaskan bahawa mereka mencari pemain wanita di kawasan kejiranan mereka, terutamanya di kawasan berpendapatan rendah. Katanya, ia sangat mencabar untuk gadis-gadis ini kerana ramai perlu bekerja, ada yang mempunyai anak, dan sukar untuk hadir ke latihan.

Kini, Villas Unidas mempunyai 28 pemain profesional. Selain itu, terdapat 90 lagi atlet, lelaki dan perempuan, dalam kategori remaja. Kelab ini bukan sahaja tertumpu kepada bola sepak. Bagi Gómez, sokongan sosial di luar aspek sukan adalah penting. Kelab ini menawarkan akses kepada penjagaan kesihatan, penempatan kerja, bantuan menamatkan persekolahan, dan subsidi kepada golongan rentan.

Bola sepak hanyalah umpan—transformasi adalah matlamat utama.

Gómez turut menjelaskan bahawa kelab-kelab besar mempunyai lebih banyak alat dan sumber berbanding mereka. Jadi, mereka menekankan kepada pemain tentang pentingnya latar belakang pendidikan, menjadi insan yang baik, dan tidak pernah berhenti mengejar impian, bekerja, serta belajar.

Salah seorang pemain ialah Carla Zárate. Beliau mula jatuh cinta dengan bola sepak sejak kecil lagi, tetapi tidak pernah berpeluang bermain secara profesional. Keadaan berubah apabila seorang rakannya menyarankan agar dia mencuba nasib di Villas Unidas. Pada 2024, dia mula bermain secara rasmi. Kini pada usia 38 tahun, dia merupakan ketua pasukan.

Bola sepak wanita di Argentina telah melalui perjalanan yang jauh, tetapi masih banyak yang perlu diperjuangkan. Pada 2019, liga ini secara rasmi diprofesionalkan.

Walaupun AFA telah menganjurkan kejohanan rasmi sejak 1991, pemain wanita telah lama berdepan diskriminasi dan prejudis termasuk dari segi gaji.

Gómez menyatakan kekesalannya bahawa wanita tidak mampu menyara hidup melalui bola sepak kerana gaji mereka terlalu rendah, dan banyak kelab tidak mampu mengekalkan standard profesional.

Beliau turut menyatakan bahawa kebanyakan pemain bola sepak Argentina yang hebat datang dari kawasan kategori rendah dan pertengahan, jadi, projek seperti Villas Unidas ini sangat penting untuk mengembalikan hak dan peluang kepada komuniti ini.

Walaupun ada tanda-tanda pemerkasaan dan manfaat kepada komuniti, kelab-kelab ini masih berdepan cabaran kewangan.

Krisis ekonomi yang melanda Argentina beberapa tahun kebelakangan ini memberi kesan teruk kepada penduduk kawasan miskin. Ramai pemain hilang kerja. Ada yang tidak mampu membayar tambang untuk hadir ke latihan.

Gómez menjelaskan sebelum ini mereka bergantung kepada bantuan kerajaan untuk mengekalkan projek ini, namun kini keadaan menjadi sukar.

Data rasmi menunjukkan terdapat lebih 6,000 penempatan rentan di negara itu, menempatkan sehingga lima juta penduduk. Tambahan pula, wanita merupakan golongan paling terkesan, dengan kadar pengangguran 6.9 peratus lebih tinggi daripada purata nasional.

Usaha pengasas dan jurulatih yang menyumbang dana untuk meneruskan projek ini amat penting. Mereka berkata mereka melakukan segala yang mampu untuk menampung keperluan asas seperti menyewa bas untuk perlawanan di tempat lawan, atau perkhidmatan keselamatan dan ambulans bagi perlawanan di tempat sendiri.

Walaupun berdepan pelbagai cabaran, Villas Unidas menjadi peringatan tentang potensi bola sepak. Apabila sebuah kelab mengutamakan manusia berbanding keuntungan, sukan ini berubah menjadi alat untuk peluang dan perubahan. Walaupun dalam ruang yang sekian lama dikuasai lelaki, bola sepak juga boleh menjadi milik wanita—dan membantu mereka membentuk masa depan mereka.

….

Itu sahaja untuk episod kali ini. Terima kasih kerana mendengar. Episod ini adalah adaptasi daripada artikel di TRT Español.


Audio lain
Fokus Hari Ini | 19 September, Jumaat
Buruh Kanak-Kanak Jadi Tular. Kita Tengok Je?
Politik Nuklear Global: Siapa Layak Memiliki Bom?
Iman Jadi Sasaran
Pergelutan Kuasa Nadir Bumi
Gangguan Bekalan Tenaga
Rohingya: Krisis yang dilupakan
Kebangkitan Peperangan Tentera AI
Menjejak Bunyi
Beban Dunia: Krisis Obesiti