Superman kembali. Tetapi kali ini, dia bukan sekadar berdepan dengan penjahat.
Filem Superman baharu arahan James Gunn kini ditayangkan di pawagam, dan ia mencetuskan kontroversi politik.
Filem ini bermula dengan babak yang menampilkan pasukan tentera berteknologi tinggi melakukan kekerasan terhadap orang awam yang tidak bersenjata di sebalik pagar sempadan yang dikawal ketat.
Jika anda rasa seperti pernah dengar adegan itu, anda tidak keseorangan. Penonton mula menyedari persamaan antara intro filem ini dengan kekerasan tentera Israel di Gaza. Jadi, apa yang membuatkan filem ini begitu hampir sama dengan situasi sebenar di Semenanjung Gaza?
Reaksi di media sosial pantas mengaitkan filem Superman baharu ini dengan tindakan Israel di Gaza.
Satu ulasan filem popular dalam talian menyifatkan filem ini sebagai “sangat anti-Israel.” Ia meraih lebih sembilan juta bacaan.
Satu lagi ciapan di X menyebut: “Just watched #Superman and it was great. It’s not just about saving the world. It’s political, it’s timely, and the Israel/Palestine parallels aren’t even trying to be subtle.”
Adakah ini benar-benar tentang Gaza? Atau adakah ia membawa sebuah kisah yang lebih umum – mengenai ketidakadilan, sempadan, dan cara kuasa digunakan?
Pengarah dan penulis James Gunn menyatakan filem ini adalah mengenai “politik” dan “moral.” Beliau juga menyifatkan perjalanan Superman sebagai “kisah seorang pendatang.”
Kenyataan itu mencetuskan kritikan, khususnya daripada penyokong dasar imigresen keras Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.
Namun, walaupun Gunn tidak menyebut nama Israel atau Palestin secara langsung, jalan ceritanya membuatkan ramai penonton tertanya-tanya.
Berikut ialah petikan kata-kata beliau semasa tayangan perdana pada 8 Julai lalu.
Gunn berkata beliau merasakan kekasaran kini menjadi budaya arus perdana yang turut melanda media sosial. Maka, beliau mahu wujudkan watak yang berbeza — seseorang yang baik, penyayang, dan sentiasa melindungi golongan tertindas tanpa mengira siapa mereka atau dari mana asal mereka.
Sebelum kita sambung kisah ini, amaran untuk anda: podcast ini mengandungi spoiler jalan cerita filem Superman yang terbaharu ini.
Filem ini merupakan reboot francais DC — iaitu francais yang merangkumi pelbagai filem adiwira dalam satu alam yang sama. Ia menandakan permulaan kepada DC Universe baharu di bawah James Gunn, dengan projek akan datang termasuk “Supergirl” dan filem seram “Clayface.”
Filem ini memperkenalkan konflik antara dua negara fiksyen: Boravia dan Jarhanpur — yang kerap dibandingkan dengan situasi sebenar di Gaza.
David Corenswet memainkan watak Superman. Kisah ini bermula tiga minggu selepas Superman menghalang Boravia, sekutu Amerika, daripada menyerang negara jirannya yang miskin, iaitu Jarhanpur. Rakyat Boravia digambarkan sebagai etnik berkulit putih, manakala rakyat Jarhanpur pula tidak. Boravia mempunyai ketenteraan kuat yang disokong Amerika, manakala Jarhanpur pula tidak bersenjata dan miskin.
Filem ini menggambarkan ketidakseimbangan kuasa yang ketara.
Boravia memiliki kereta kebal, kuasa udara dan sokongan Barat. Jarhanpur hanya mempunyai orang awam, ribut pasir dan harapan. Rakyat Jarhanpur melarikan diri tanpa perlindungan, ada yang mengibarkan bendera Superman sebagai simbol harapan. Visualnya terasa seperti pernah dilihat — pagar sempadan, tentera bersenjata, dan orang awam yang berada dalam ketakutan.
Tambahan pula, pencerobohan oleh Boravia digambarkan sebagai suatu usaha penjajahan penempatan untuk merampas tanah penduduk asal.
Dalam satu babak yang mengerikan, senjata eksperimen diuji ke atas orang awam. Dalam babak lain, penduduk yang memegang kayu dan batu yang menghampiri pagar sempadan ditembak dengan senjata api — hampir sama dengan keadaan sebenar.
Wartawan Lois Lane, lakonan Rachel Brosnahan, mempertahankan tindakan rejim genosid Boravia dengan alasan bahawa kerajaan Jarhanpur yang lebih kuat mungkin mampu memberi ancaman pada masa hadapan — suatu hujah yang kerap digunakan untuk membidas Hamas.
Persamaan tidak terhenti di situ.
Dalam filem ini, Superman ialah satu-satunya yang terselamat daripada genosid yang memusnahkan keluarganya dan seluruh tamadunnya. Latar belakang ini membolehkannya mengenal pasti corak keganasan dan ketidakadilan yang sedang berulang di Jarhanpur.
Mereka yang melawan rejim berkuasa ditahan dalam pusat tahanan yang sempit dan menjijikkan — menyerupai pusat tahanan di AS untuk pendatang tanpa dokumen. Identiti dan maruah dirampas, dan mereka menjadi angka dalam sistem yang direka untuk melupakan mereka.
Inilah juga realiti yang digambarkan oleh rakyat Palestin — mereka tidak lagi dilayan seperti manusia dan dipenjarakan tanpa hujung pangkal.
Plot-plot ini mungkin kelihatan terlalu ketara, tetapi ia tidaklah asing dalam dunia Superman. Superman sentiasa memperjuangkan keadilan. Dalam komik terdahulu, Superman menentang Nazi dan kumpulan pelampau kulit putih Ku Klux Klan. Tetapi dalam versi ini, musuhnya lebih moden dan licik.
Antagonis kisah ini, Lex Luthor lakonan Nicholas Hoult, melancarkan kempen fitnah dalam talian menggunakan monyet untuk menyebar berita palsu di media sosial. Kempen ini turut menampilkan retorik anti-Islam — menuduh Superman menyimpan “harem” yang penuh dengan gundik, kononnya digambarkan sebagai rancangan Superman untuk menguasai dunia.
Selepas 7 Oktober, pemimpin Israel turut menyebar naratif menghasut, menuduh rakyat Palestin melakukan kekejaman — walaupun kebanyakkan dakwaan mereka tidak dapat disahkan. Filem ini mencerminkan perkara itu. Ia menunjukkan bagaimana propaganda digunakan untuk menghalalkan kekerasan dan memburukkan pihak yang berjuang.
Ia juga mengkritik budaya kapitalis bilionair. Lex Luthor digambarkan seperti Donald Trump — taksub kepada kuasa dan kekayaan. Pemimpin Boravia, Vasil Glarkos (lakonan Zlatko Burić), ialah bayangan jelas Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu. Dia berbangga merampas tanah, menguasai medan gas, dan menjual segalanya kepada pembida tertinggi. Kedua-dua mereka bekerjasama untuk membahagikan Jarhanpur demi keuntungan — macam pernah dengar kan?
James Gunn dilaporkan mula menulis skrip filem ini pada Oktober 2023, sejurus selepas perang Gaza meletus, dan menyiapkannya pada Disember. Penggambaran bermula awal 2024.
Negara fiksyen Boravia dan Jarhanpur pernah wujud dalam komik DC, tetapi filem ini memberikannya makna simbolik yang lebih mendalam.
Walaupun tidak disebut secara langsung bahawa mereka mewakili Israel dan Gaza, metaforanya jelas: ketidakadilan, peperangan dan pengusiran.
Ini menimbulkan persoalan yang lebih mendalam.
Apabila kisah adiwira terasa begitu dekat dengan penderitaan dalam dunia sebenar, apakah maknanya tentang keadaan dunia kita sekarang? Penonton kini dahagakan kisah yang mencerminkan realiti — kisah yang mencabar propaganda, mempersoalkan kuasa, dan mengingatkan kita bahawa kuasa harus dipertanggungjawabkan.
Pertama kali diperkenalkan pada 1938, Superman muncul dalam era pergolakan global sebelum Perang Dunia Kedua. Kisah Superman dari awal mencerminkan dunia yang bergolak dan tidak stabil.
Versi terkini ini mengingatkan kita bahawa kisah fiksyen yang kelihatan mengarut mampu mendedahkan kebenaran yang menyakitkan.
Kadangkala, adiwira yang paling berkuasa bukanlah seseorang yang turun berlawan di medan perang — tetapi yang membantu kita memahami makna pertempuran itu.