Gencatan senjata Gaza kerap dilanggar, tidak dihormati: PBB
Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Antonio Guterres menyifatkan gencatan senjata Gaza masih “rapuh” dan “berulang kali dilanggar. Beliau menggesa semua pihak menghormati pelan damai itu bagi membolehkan rundingan seterusnya dapat dicapai agar rakyat Palestin dapat menentukan nasib mereka sendiri, sekali gus mencapai penyelesaian dua negara. Bercakap di ibu pejabat PBB, beliau menyatakan bahawa operasi kemanusiaan di Gaza semakin berhasil walaupun berdepan halangan. Beliau berkata Majlis Keselamatan akan menentukan langkah PBB yang seterusnya. Sebelum ini, menteri G7 dan Setiausaha Negara AS Marco Rubio menyuarakan kebimbangan terhadap sekatan Israel ke atas bantuan dan keganasan penduduk haram. Setakat ini, perang genosid Israel ke atas Gaza telah membunuh hampir 70,000 rakyat Palestin.
AS beri amaran keganasan penduduk haram Yahudi ganggu keamanan di Gaza
Setiausaha Negara AS Marco Rubio menyuarakan kebimbangan bahawa keganasan yang semakin meningkat dikalangan penduduk haram Yahudi di Tebing Barat yang diduduki boleh menjejaskan usaha damai Gaza yang disokong AS. Bercakap selepas mesyuarat G7 di Kanada, Rubio berkata Washington akan mengambil tindakan sewajarnya bagi menghalang sebarang keganasan berterusan. Keganasan oleh penduduk haram bersenjata, yang sering dibantu oleh pihak tentera, mula meningkat sejak Oktober 2023, melibatkan tembakan, pembakaran dan pemusnahan harta benda. Agensi PBB melaporkan puluhan kampung Palestin terpaksa dikosongkan susulan peningkatan serangan oleh penduduk haram Yahudi - satu tindakan yang telah didokumentasikan oleh kumpulan hak asasi manusia.
G7 ikrar tingkatkan tekanan ke atas Rusia, sokong Ukraine
Menteri-menteri luar G7 menggesa agar gencatan senjata di Ukraine dicapai dengan segera, sambil menyatakan sokongan teguh terhadap kedaulatan, keselamatan dan kemerdekaannya, susulan pertemuan dua hari mereka di Kanada. Pertemuan yang disertai pemimpin rakan kongsi global utama itu menegaskan bahawa rundingan mesti dimulakan, sambil mengutuk serangan Rusia ke atas infrastruktur tenaga Ukraine. Mereka turut mengecam bantuan ketenteraan asing kepada Rusia, termasuk dari Korea Utara, Iran dan China, dan berikrar untuk meningkatkan tekanan ekonomi sambil menyokong pembinaan semula, keselamatan tenaga, dan kemakmuran jangka panjang Ukraine.
PM Iraq Sudani umum menang pilihan raya
Perdana Menteri Iraq Mohammed Shia al Sudani mengisytiharkan gabungannya sebagai pemenang pilihan raya parlimen negara itu dalam ucapan yang disiarkan di televisyen, sambil menyifatkannya sebagai kemenangan untuk semua rakyat Iraq. Beliau berkata rundingan untuk membentuk kerajaan baharu akan dimulakan tidak lama lagi. Keputusan awal menunjukkan Gabungan Pembinaan Semula dan Pembangunan mendahului dengan lebih daripada 411,000 undi, diikuti dengan Parti Kemajuan dan Gabungan Negara Undang-undang. Peratusan keluar mengundi mencapai lebih 56 peratus. Kini dalam penggal kedua, Sudani meletakkan dirinya sebagai seorang reformis yang menjanjikan kestabilan.
AS tamatkan penutupan kerajaan selepas Kongres lulus rang undang-undang pembiayaan
Presiden AS Donald Trump menandatangani rang undang-undang yang akan membiayai kerajaannya sehingga 30 Januari, sekali gus menamatkan penutupan kerajaan sejak 43 hari yang lalu—iaitu rekod paling lama dalam sejarah AS. Menuduh musuh politiknya telah menyebabkan krisis demi keuntungan partisan, Trump berkata, "Ini bukannya cara untuk mentadbir negara." Beliau turut menyatakan harapan agar semua pihak bersetuju bahawa kerajaan tidak sepatutnya ditutup lagi. Dewan Perwakilan dan Senat meluluskan rang undang-undang itu, sekali gus membenarkan agensi persekutuan dibuka semula, bantuan makanan disambung dan hampir sejuta pekerja menerima gaji mereka semula. Penutupan itu telah mengganggu perkhidmatan utama, operasi lapangan terbang dan program pemakanan berpendapatan rendah di seluruh negara.

