Fokus Hari Ini | 13 Oktober
00:00
00:0000:00
Dunia
Fokus Hari Ini | 13 Oktober
Hamas mula bebaskan tahanan Israel, tujuh orang telah dipindahkan ke Palang Merah di Gaza. Kumpulan pejuang Palestin Hamas berkata ia akan lawan keganasan Israel jika rejim Zionis itu teruskan peperangan.
13 Oktober 2025

Hamas mula bebaskan tahanan Israel

Kumpulan pejuang Palestin Hamas telah menyerahkan tujuh tahanan Israel kepada Palang Merah di Gaza sebagai sebahagian daripada perjanjian gencatan senjata, lapor Saluran 12 Israel. Terdahulu, Briged Qassam, iaitu sayap bersenjata Hamas, mengumumkan bahawa mereka telah memutuskan untuk membebaskan 20 tahanan Israel sebagai sebahagian daripada gencatan senjata Gaza dan perjanjian pertukaran tahanan. Menurut media Israel, pembebasan tebusan akan dijalankan dalam dua fasa.

Trump ugut hantar peluru berpandu Tomahawk ke Ukraine jika perang dengan Rusia tidak selesai

Presiden AS Donald Trump berkata beliau akan menghantar peluru berpandu Tomahawk ke Ukraine jika perangnya dengan Rusia tidak selesai. Trump mendakwa, Ukraine "ingin memiliki Tomahawk". Beliau berkata demikian semasa berlepas ke Israel dan Mesir menjelang Sidang Kemuncak Sharm el-Sheikh mengenai gencatan senjata Gaza. Merujuk perbincangannya dengan Presiden Ukraine Volodymyr Zelenskyy, Trump berkata mereka telah berbincang tentang perkara ini.

Isu keselamatan Syria tidak dapat dipisahkan daripada Turkiye: Fidan

Keselamatan Syria tidak dapat dipisahkan daripada Turkiye, kata Menteri Luar Turki Hakan Fidan, sambil berikrar bahawa Ankara akan terus memberi sokongan kepada rakyat Syria. Fidan, Menteri Pertahanan Yasar Guler dan Ketua Perisikan Ibrahim Kalin bertemu dengan rakan sejawatan mereka dari Syria di Ankara untuk perbincangan. Mesyuarat itu memberi tumpuan kepada kerjasama keselamatan antara Turkiye dan Syria, serta perkembangan terkini.

Pakistan gesa dialog dengan Afghanistan susulan pertempuran sempadan

Pakistan menggesa dialog dan diplomasi diadakan dengan negara jirannya, Afghanistan, berikutan pertempuran sempadan yang menyebabkan puluhan askar terbunuh dan cedera di kedua-dua belah pihak. Satu kenyataan daripada Kementerian Luar di Islamabad mengatakan bahawa "Pakistan sangat menghargai dialog dan diplomasi, serta hubungan yang saling menguntungkan dengan Afghanistan". Ia menambah bahawa memerangi keganasan adalah "usaha bersama" dan Pakistan akan terus "berhati-hati" dalam memantau keadaan, serta mengambil semua langkah yang perlu untuk melindungi wilayahnya dan kehidupan rakyatnya.

Hamas akan lawan jika Israel terus mengganas

Hamas bersedia untuk melawan jika perjanjian gencatan senjata Presiden Donald Trump tidak berjaya, dan sekiranya Israel meneruskan perangnya di Gaza, kata seorang pegawai kanan kepada AFP. Ahli biro politik Hamas, Hossam Badran berkata kumpulan pejuang itu berharap peperangan akan tamat, namun menegaskan bahawa "rakyat Palestin dan pasukan pejuang akan tetap berhadapan dan menggunakan daya upaya mereka untuk menangkis pencerobohan jika pertempuran diteruskan". Badran menambah bahawa rundingan mengenai fasa kedua rancangan damai Gaza oleh Trump dijangka akan menjadi rumit dan sukar.

Audio lain
Fokus Hari Ini | 11 Februari
Visa Iklim: Antara Pemindahan dan Pencegahan
Keperluan Kawan Sebenar
Ramalan Gempa Bumi: Mengapa Sains Masih Tidak Boleh Meramal Kedatangan Gempa Besar
Mempersenjatakan Kelaparan: Dari Kolonialisme Britain ke Gaza Hari Ini
Superman Kembali – Kali Ini Mirip Keadaan di Gaza
Bola Sepak Membawa Perubahan
Buruh Kanak-Kanak Jadi Tular. Kita Tengok Je?
Politik Nuklear Global: Siapa Layak Memiliki Bom?
Iman Jadi Sasaran