Penarikan balik senjata berat di sempadan Thailand-Kemboja telah bermula, menurut Timbalan Jurucakap Kementerian Luar Thailand, Maratee Andamo.
Beliau berkata, langkah itu selaras dengan Deklarasi Bersama yang ditandatangani baru-baru ini antara kedua-dua negara.
“Penarikan balik senjata berat ini melibatkan Thailand dan Kemboja dan kini sedang dilaksanakan,” katanya pada sidang media di sela-sela Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan sidang-sidang berkaitan di Kuala Lumpur pada Rabu.
Maratee turut memaklumkan bahawa 18 tahanan perang Kemboja akan menjalani pemeriksaan kesihatan menyeluruh sebelum dibebaskan, dengan proses itu dikendalikan oleh Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC) mengikut piawaian antarabangsa.
“Proses ini tidak akan mengambil masa yang lama. Kami akan memantau rapat sepanjang minggu ini bagi memastikan semua langkah dilaksanakan dengan jelas,” katanya.
Deklarasi damai itu ditandatangani oleh Perdana Menteri Thailand Anutin Charnvirakul dan rakan sejawatnya dari Kemboja Hun Manet, disaksikan oleh Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim dan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump.
Perjanjian itu menandakan kejayaan penting dalam diplomasi serantau ASEAN di bawah tema Pengerusi Malaysia 2025 — Keterangkuman dan Kelestarian.













