Syarikat penerbangan di seluruh Asia mula menaikkan harga tiket dan merangka pelan luar jangka, termasuk kemungkinan merehatkan pesawat (grounding) susulan konflik Asia Barat yang kian meruncing, lapor Bloomberg.
Krisis itu dikhuatiri bakal mencetuskan kejutan harga minyak terburuk sejak 1970-an.
Syarikat penerbangan India dilaporkan telah menaikkan harga bagi laluan jarak jauh sebanyak 15 peratus, manakala media Vietnam memberi amaran bahawa harga tambang mungkin melambung sehingga 70 peratus akibat kebergantungan tinggi terhadap bahan api jet import.
Berbanding syarikat penerbangan di Eropah atau Amerika Syarikat, pemain industri di Asia dilihat lebih terdedah kepada risiko kenaikan harga mendadak kerana program lindung nilai (hedging) yang lemah.
Syarikat penerbangan tambang murah di Asia Tenggara kini mula mengkaji senario untuk menghentikan operasi pesawat sekiranya kos bahan api jet menjadi tidak mampu ditanggung.
Penganalisis pasaran di Sparta Commodities, June Goh, menyifatkan situasi tersebut sebagai "butang panik telah ditekan"
Walaupun harga minyak sempat mencecah AS$120 setong pada 9 Mac sebelum menunjukkan sedikit penurunan selepas isyarat perdamaian daripada Presiden Donald Trump, ketidakstabilan pasaran tetap tinggi.
Trump turut merancang untuk mengetepikan sekatan berkaitan minyak dan mengerahkan tentera laut AS mengiringi kapal tangki melalui Selat Hormuz.
Namun, penganalisis Deutsche Bank Michael Linenberg memberi amaran bahawa ribuan pesawat di seluruh dunia mungkin terpaksa menghentikan operasi, malah syarikat penerbangan yang lemah berisiko gulung tikar jika krisis berlarutan lebih tiga bulan.
Kesan ketidaktentuan ini turut memaksa Air New Zealand menggantung unjuran pendapatan tahun kewangan 2026 mereka semalam.
Syarikat itu menyatakan bahawa andaian kos bahan api yang dibuat dua minggu lalu kini tidak lagi relevan berikutan turun naik harga yang luar biasa.
Krisis ini dijangka menjejaskan pendapatan separuh kedua tahun ini dengan ketara sehingga keadaan pasaran kembali stabil, sekali gus mencerminkan gangguan rantaian bekalan yang semakin meluas di peringkat global.
Di tengah-tengah kesuraman ini, Ketua Pegawai Eksekutif Deutsche Lufthansa Carsten Spohr melihat kelebihan kompetitif bagi syarikat yang mempunyai lindung nilai yang kukuh.
Beliau menambah bahawa Lufthansa kini meningkatkan kapasiti bagi laluan Asia dan Afrika memandangkan pesaing dari Asia Barat masih belum dapat beroperasi secara normal.
Walau bagaimanapun, sentimen pasaran saham bagi syarikat penerbangan Asia tetap parah dengan indeks syarikat penerbangan Asia Pasifik BI jatuh ke paras terendah dalam tempoh lebih lima tahun.
Ketegangan yang tercetus sejak serangan AS dan Israel ke atas Iran lebih seminggu lalu terus meletakkan industri penerbangan dunia dalam keadaan tidak menentu.
Walaupun ada pihak yang optimis bahawa konflik ini bersifat jangka pendek, realitinya operasi lapangan terbang utama di Asia Barat hampir terhenti sepenuhnya.
Buat masa ini, penumpang di rantau Asia terpaksa berdepan dengan realiti tambang tinggi dan jadual penerbangan yang tidak menentu selagi krisis bahan api tidak menemui jalan penyelesaian.







