Negeri Rakhine di barat Myanmar kekal sebagai antara medan paling kritikal dalam perang saudara negara itu sejak rampasan kuasa tentera pada Februari 2021, dengan kumpulan bersenjata etnik Arakan Army (AA) muncul sebagai antara cabaran ketenteraan terbesar kepada junta pemerintah, lapor The Inquirer.
AA, yang berpangkalan di Rakhine, dilaporkan telah menguasai hampir keseluruhan negeri itu dan turut aktif di beberapa wilayah lain, namun kemaraan kumpulan tersebut dilihat semakin perlahan kebelakangan ini.
Dalam masa sama, Rakhine kini berdepan bencana kemanusiaan yang semakin meruncing, namun menerima perhatian antarabangsa yang sangat terhad.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebelum ini memberi amaran bahawa Rakhine berada di ambang malapetaka luar biasa, dengan konflik tersebut memberi kesan besar bukan sahaja kepada penduduk tempatan tetapi juga ratusan ribu komuniti Rohingya yang berada sama ada di kawasan sempadan utara atau di kem-kem sekitar ibu negeri Sittwe.
Keadaan semakin parah susulan sekatan laluan darat dan serangan udara berterusan oleh tentera Myanmar, yang mengakibatkan Rakhine hampir terputus hubungan dengan dunia luar.
Sempadan ke Bangladesh dan India turut ditutup, manakala pertempuran berbilang penjuru melibatkan junta, AA dan militan Rohingya terus memburukkan keadaan keselamatan.
Menurut Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP), sekitar 460,000 orang menjadi pelarian dalam negara, dengan angka sebenar dianggarkan mencecah 600,000.
Kejatuhan pengeluaran padi, kekurangan bekalan asas serta kenaikan mendadak harga makanan dan minyak masak telah menyukarkan kelangsungan hidup penduduk di wilayah yang bergolak itu.
Sementara itu, semua pihak yang bertelagah saling menuduh berlakunya pencabulan hak asasi manusia dan jenayah perang, namun banyak insiden sukar disahkan secara bebas di lapangan.
Pemerhati memberi amaran bahawa konflik yang kabur garis pemisahnya, ditambah dengan ketegangan etnik dan agama yang berpanjangan, berisiko mencetuskan keganasan tidak terkawal jika usaha membina kepercayaan dan empati antara komuniti gagal dicapai.















