ASIA
2 min membaca
Banjir Sumatera: Penduduk salahkan pembalakan dan kemusnahan hutan
Penduduk menggambarkan bagaimana tanah runtuh menimbus rumah dan menyukarkan operasi mencari serta menyelamat, manakala banjir membawa puluhan batang kayu hanyut hingga ke pantai.
Banjir Sumatera: Penduduk salahkan pembalakan dan kemusnahan hutan
Media tempatan melaporkan pejabat peguam negara sedang menyiasat sama ada aktiviti haram menyumbang kepada bencana tersebut. / AP
3 Disember 2025

Penduduk di Sumatera menyalahkan kemusnahan hutan sebagai punca utama banjir dan tanah runtuh yang meragut lebih 700 nyawa minggu lalu, iaitu bencana terburuk yang melanda Indonesia sejak tsunami pada 2004.

“Tangan manusia yang rakus tebang pokok… mereka tak peduli hutan, dan sekarang kami yang menanggung akibatnya,” kata Reliwati Siregar, 62, di sebuah pusat pemindahan sementara di Tapanuli, kawasan paling teruk terjejas.

Penduduk menggambarkan bagaimana tanah runtuh menimbus rumah dan menyukarkan operasi mencari serta menyelamat, manakala banjir membawa puluhan batang kayu hanyut hingga ke pantai.

“Hujan memang punca banjir, tapi mustahil sebanyak ini kayu tumbang hanya kerana hujan,” ujarnya dalam keadaan marah.

Pemimpin tempatan dan pakar alam sekitar berkata taufan tropika di Selat Melaka yang turut menjejaskan Malaysia dan Thailand itu sememangnya disebabkan perubahan iklim, namun kemusnahan hutan di Sumatera menyebabkan kesan lebih parah.

“Kalau hutan kita terpelihara… bencananya tak seteruk ini,” kata Gus Irawan Pasaribu, pemimpin daerah Tapanuli, sambil mendedahkan aduannya mengenai lesen pembalakan sering tidak diendahkan kementerian berkaitan.

Media tempatan melaporkan pejabat peguam negara sedang menyiasat sama ada aktiviti haram menyumbang kepada bencana tersebut, manakala kementerian alam sekitar akan menyoal lapan syarikat dalam sektor pembalakan, perlombongan dan perladangan sawit susulan longgokan kayu yang hanyut di beberapa kawasan.

Kumpulan pemantau seperti Global Forest Watch merekodkan Sumatera kehilangan lebih 4.4 juta hektar hutan sejak 2001 — bersamaan dengan kawasan yang lebih besar daripada Switzerland.

NGO alam sekitar JATAM pula mendakwa pembinaan empangan hidroelektrik Batang Toru yang dibiayai China turut menyumbang kepada kemusnahan ekosistem hulu sungai, sementara Walhi menegaskan bencana itu berpunca daripada “salah urus sumber alam oleh kerajaan” selain faktor cuaca ekstrem.

Syarikat perlombongan termasuk pengendali lombong emas Martabe menafikan dakwaan itu, sebaliknya menyalahkan cuaca melampau dan kayu-kayu yang menyekat aliran sungai.

Di Padang, penduduk turut menyuarakan kebimbangan melihat jumlah kayu hanyut yang disifatkan sebagai “luar biasa.”

“Biasanya sedikit saja… tapi kali ini terlalu banyak,” kata Yusneli, 43, sambil menggambarkan ketakutan masyarakat setiap kali hujan lebat kembali turun.

SUMBER:Reuters