Pihak tentera Myanmar mendakwa kadar keluar mengundi dalam fasa pertama pilihan raya yang dikendalikan junta melebihi 50 peratus, jauh lebih rendah berbanding penyertaan dalam pilihan raya terakhir sebelum rampasan kuasa.
Pihak tentera merampas kuasa pada 2021 yang turut mencetuskan perang saudara, sebelum membenarkan semula proses pengundian diadakan pada Ahad lalu sebagai sebahagian daripada pilihan raya berperingkat selama sebulan yang didakwa bertujuan memulangkan kuasa kepada rakyat.
Namun, aktivis hak asasi dan pemimpin Barat mengecam proses itu, dengan memetik insiden penindasan disebabkan perbezaan pendapat, serta senarai calon memilih bulu yang melebihkan sekutu pihak tentera.
Parti pro-tentera utama, Parti Solidariti dan Pembangunan Kesatuan (USDP), mendakwa telah memperoleh kemenangan besar dalam pusingan awal, sementara pihak junta menuduh kumpulan pemberontak melancarkan serangan ke atas pusat pengundian dan bangunan kerajaan sepanjang hujung minggu.
Jurucakap junta Zaw Min Tun berkata bahawa 52 peratus daripada lebih 11.6 juta pengundi yang layak telah mengundi pada fasa pertama, bersamaan dengan lebih enam juta orang.
Beliau mendakwa kadar itu setanding atau lebih baik berbanding beberapa negara lain.
Bagaimanapun, kadar tersebut masih jauh di bawah sekitar 70 peratus yang direkodkan pada pilihan raya 2020, apabila Parti Liga Kebangsaan untuk Demokrasi pimpinan Aung San Suu Kyi memperolehi kemenangan besar sebelum rampasan kuasa dilakukan oleh ketua junta Min Aung Hlaing.
Pemerhati turut melaporkan ketiadaan golongan muda di pusat pengundian yang ketara, berbeza dengan pilihan raya lalu.
Ramai dilaporkan meninggalkan negara yang dilanda konflik itu atau enggan menyertai proses yang disifatkan kumpulan hak asasi antarabangsa sebagai usaha menghalalkan pemerintahan tentera.












