Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di Sarawak melibatkan daerah Kuching, Serian, Samarahan, Sarikei, Sibu, Mukah dan Bintulu sehingga jam 5 petang Selasa.
Amaran itu dikeluarkan susulan tanda-tanda yang menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang dijangka berlaku sekitar sejam.
“Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran,” kata MetMalaysia dalam kenyataan yang dikeluarkan pada 2.30 petang di Facebook.
Sebelum itu, MetMalaysia turut mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang membabitkan Melaka dan beberapa daerah di Johor sehingga 2 petang Selasa.
Dalam kenyataan dikeluarkan pada 10.40 pagi, jabatan itu menjangkakan cuaca buruk melanda Melaka serta kawasan Tangkak, Muar, Batu Pahat, Kluang, Mersing, Pontian, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru.
Orang ramai dinasihatkan berwaspada terhadap risiko banjir kilat, pokok tumbang dan keadaan jalan licin sepanjang tempoh amaran berkuat kuasa.
Sementara itu, kerajaan dan agensi kemanusiaan di Indonesia serta Sri Lanka sedang memastikan bantuan segera tiba untuk ratusan ribu mangsa banjir yang terperangkap, susulan bencana monsun dan dua taufan tropika yang meragut hampir 1,200 nyawa di empat negara.
Menurut laporan AFP, walaupun air banjir mula surut, kemusnahan yang berlaku memaksa ratusan ribu orang berlindung di pusat pemindahan, berdepan kekurangan makanan dan air bersih.
Di Aceh, kawasan paling terjejas di Indonesia, bekalan asas semakin menyusut dengan akses jalan raya dipotong arus deras.
Penduduk terpaksa beratur panjang mendapatkan bahan api dan barangan asas yang harganya mula melonjak, termasuk cili yang mencecah 300,000 rupiah (RM74.60) sekilogram.
Jakarta menghantar 34,000 tan beras dan 6.8 juta liter minyak masak ke tiga wilayah paling teruk terjejas — Aceh, Sumatera Utara dan Sumatera Barat — bagi mengelakkan krisis makanan.
Organisasi bantuan turut memberi amaran bahawa Aceh berdepan risiko kekurangan makanan kritikal jika rantaian bekalan tidak dipulihkan dalam tempoh seminggu.
Lebih 631 orang disahkan terkorban di Sumatera dan lebih 472 masih hilang, manakala sejuta lagi penduduk terpaksa dipindahkan.
Di Thailand selatan, sekurang-kurangnya 176 maut manakala dua lagi korban direkodkan di Malaysia.
Di Sri Lanka, ribut berasingan mencetuskan banjir kilat dan tanah runtuh yang mengorbankan sekurang-kurangnya 390 orang, dengan ratusan yang lain masih hilang dan beberapa kawasan tengah negara masih sukar diakses.
Presiden Anura Kumara Dissanayake mengisytiharkan darurat dan memohon bantuan antarabangsa, ketika tentera udara Sri Lanka dibantu India dan Pakistan meneruskan operasi pemindahan serta penghantaran bantuan.











