Kawasan Tentera Darat Kedua Thailand mendedahkan pada Khamis mengenai penemuan periuk api anti-personel jenis PMN-2 yang baharu — senjata yang diharamkan di bawah Konvensyen Ottawa — di kawasan sempadan Thai–Kemboja, lapor The Nation.
Penemuan itu dibuat susulan bukti yang dikumpulkan dimana laporan mendakwa anggota tentera Kemboja telah menanam periuk api tersebut, sama dengan rakaman latihan bertarikh 8 Jun yang memaparkan anggota tenteranya menjalani latihan penanaman periuk api.
Hasil perbandingan imej dan rakaman video mendakwa individu dalam klip latihan tersebut adalah sama dengan mereka yang dirakam menanam periuk api di wilayah Thailand.
Butiran padanan seperti uniform, peralatan lapangan, serta ciri fizikal termasuk parut dan barangan peribadi menunjukkan bahawa mereka merupakan anggota tentera yang aktif, bukan orang awam, dan periuk api itu ditanam baru-baru ini, bukan tinggalan konflik lalu, tambah laporan itu.
Laporan tersebut menegaskan bahawa tindakan berkenaan merupakan pelanggaran serius terhadap Konvensyen Ottawa, khususnya Artikel 1 yang mengharamkan penggunaan, pembangunan, pengeluaran dan penyimpanan periuk api anti-personel, serta Artikel 5 yang mewajibkan negara penandatangan membersihkan kawasan mereka dan tidak menambah periuk api baharu.
“Penanaman periuk api baharu di wilayah Thailand merupakan pelanggaran jelas terhadap prinsip kemanusiaan antarabangsa dan mengancam keselamatan orang awam serta petugas di kawasan berkenaan,” kata kenyataan Kawasan Tentera Darat Kedua.
Thailand, dalam kenyataan itu, menggesa Kemboja menghentikan serta-merta semua aktiviti penanaman periuk api, membenarkan pemeriksaan bersama di kawasan terlibat dan memberikan maklumat tepat kepada komuniti antarabangsa.















