Penghantaran pulang warga Myanmar dari Malaysia, yang menurut Perdana Menteri Anwar Ibrahim kini melebihi 10,000 orang, tidak terhad kepada etnik Rohingya dan dilaksanakan tanpa membezakan etnik.
Menjawab soalan di Dewan Rakyat hari ini, Anwar berkata sebahagian warga Myanmar dibawa pulang melalui pesawat atas inisiatif kerajaan negara itu sejak Januari.
Penghantaran terbaharu membabitkan kira-kira 1,400 orang menggunakan kapal tentera laut Myanmar menerusi program yang disifatkan kerajaan sebagai penghantaran pulang secara sukarela.
Menurut Anwar, Malaysia menetapkan syarat supaya Myanmar menjamin layanan munasabah terhadap mereka yang kembali, tanpa penderaan atau pelanggaran hak asasi.
Beliau berkata jaminan tersebut telah diberikan oleh kerajaan Myanmar.
“Hanya dengan persetujuan dia (rakyat yang dihantar pulang), menandatangani persetujuan untuk pulang, baru kita hantar,” katanya. “Jadi yang pulang itu, menandatangani dokumen persetujuan dahulu, tanpa paksaan untuk dihantar pulang.”






















