Kerajaan perlu memperuntukkan sekurang-kurangnya RM40 bilion setiap tahun bagi mengekalkan subsidi bahan api, sekali gus membolehkan rakyat Malaysia menikmati antara harga petrol paling rendah di dunia, lapor BERNAMA.
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim berkata petrol RON95 bersubsidi ketika ini dijual pada harga RM1.99 seliter, dengan peruntukan besar yang disediakan mencerminkan komitmen kerajaan untuk memastikan kos bahan api kekal mampu milik.
"Rakyat hanya membayar RM1.99 (seliter bagi petrol RON95 bersubsidi). Dalam tempoh setahun, saya perlu mencari RM40 bilion untuk menampung perbelanjaan subsidi bahan api. Sebab itulah harga bahan api di Malaysia antara yang terendah di dunia.
"Kalau dibandingkan dengan negara lain, Brunei hanya sedikit lebih rendah, manakala negara pengeluar minyak seperti Arab Saudi dan Qatar juga mempunyai harga yang lebih tinggi daripada kita," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Malam Harapan di Dewan Sekolah Tinggi Pay Fong, pada Khamis.
Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata keputusan untuk mengekalkan subsidi bahan api dibuat atas tanggungjawab kerajaan terhadap rakyat yang telah memberikan mandat kepada gabungan itu untuk mentadbir negara.
"Ia bukan kerana saya bijak, tetapi kerana rakyat bersama-sama kita (PH). Rakyat faham, mereka membayar harga yang rendah (untuk bahan api), namun pada masa sama mereka tahu negara ini mesti diselamatkan," katanya.
Menteri Kewangan itu turut berkata kerajaan masih menanggung liabiliti kewangan yang besar akibat dakwaan penyelewengan yang berlaku di bawah pentadbiran terdahulu, dengan beban berkenaan akhirnya ditanggung oleh para pembayar cukai.
"(Kes) 1Malaysia Development Berhad (1MDB), apabila ada hutang siapa yang perlu membayarnya? Orang Melayu bayar, orang Cina bayar, orang India bayar, rakyat Sabah dan Sarawak juga bayar.
"Kemudian ada Felda yang merupakan institusi penting kepada orang Melayu. Setiap tahun kerajaan perlu menanggung hampir RM1 bilion untuk melangsaikan hutangnya. Mengapa? Kerana ada pihak yang mencuri wang tersebut. Tabung Haji pula kehilangan RM10 bilion," katanya.


















