Kementerian Pertahanan Malaysia mengenal pasti peluru berpandu antikapal Atmaca keluaran Roketsan dari Türkiye sebagai pilihan pengganti Naval Strike Missile (NSM) dari Norway untuk kapal tempur pesisir (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia.
Menteri Pertahanan Mohamed Khaled Nordin berkata pilihan itu dibuat selepas menilai cadangan Türkiye, Perancis dan Itali berdasarkan harga, tempoh penyerahan serta kos permulaan.
Rundingan lanjut akan diadakan dengan pihak Türkiye sebelum perolehan dimuktamadkan.
“Kita putuskan bahawa peluru daripada Turkiye itu adalah yang terbaik untuk kita pertimbang bagi menggantikan peluru berpandu NSM dari Norway,” katanya selepas merasmikan sambutan Hari Inovasi MINDEF 2026 di Kuala Lumpur pada Khamis.
Menurut Mohamed Khaled, Türkiye memberi jaminan mengenai keserasian dan integrasi Atmaca dengan sistem pengurusan tempur kapal.
"Peluru berpandu itu sama dengan yang kita tempah untuk kapal LMS kita, yang kita sudah tempah. Jadi kita tak ada masalah.
"Jadi, sekiranya kita tidak mempunyai tempahan peluru berpandu untuk kapal LMS dan perlu membuat pembelian baharu, proses itu mengambil masa 30 bulan atau kira-kira dua tahun setengah, boleh dikatakan tiga tahun. Jadi maknanya, kalau kita buat tempahan, kita boleh menerima bekalan pada 2029.
"Tetapi oleh kerana kita sudah tempah untuk LMS kita akan dapat awal kerana ada peluru berpandu itu yang boleh dibekalkan awal, mungkin 2028," katanya.
Sementara itu, MINDEF meneruskan proses penyelesaian pertikaian berhubung NSM yang sudah dibayar tetapi belum dibekalkan, selepas Norway membatalkan lesen eksport atas alasan keselamatan negara.
Rundingan awal gagal mencapai persetujuan dan proses kini beralih kepada Jawatankuasa Penyelesaian Pertikaian.
“Sekiranya proses itu gagal, Malaysia akan meneruskan tindakan melalui timbang tara seperti yang diperuntukkan dalam kontrak perolehan berkenaan,” katanya.






















