Perdana Menteri, Anwar Ibrahim menyeru Malaysia dan China untuk memperkukuh kerjasama ekonomi dengan memanfaatkan kekuatan ekonomi kedua-dua negara serta meneroka peluang baharu yang mampu menjana pertumbuhan lebih kukuh pada masa depan, menurut laporan New Straits Times.
Beliau berkata, hubungan dua hala antara Malaysia dan China tidak lagi terhad kepada perdagangan serta pelaburan konvensional, sebaliknya membuka ruang kepada bentuk kerjasama ekonomi yang lebih luas dan strategik.
Menurutnya, kedua-dua ekonomi mempunyai tahap saling melengkapi yang tinggi selain potensi besar untuk terus berkembang melalui kerjasama yang lebih mendalam.
“Dua ekonomi ini mempunyai kekuatan yang saling melengkapi dan potensi yang amat besar.
“Perkongsian kita melangkaui perdagangan dan pelaburan tradisional,” katanya menerusi ucaptama yang dirakam lebih awal sempena Persidangan Usahawan Malaysia-China (MCEC) Ke-16, pada Khamis.
Anwar berkata, komuniti perniagaan dari kedua-dua negara perlu memperkukuh kerjasama dalam bidang inovasi dan pembangunan industri bagi mewujudkan nilai tambah yang lebih besar kepada ekonomi serta rakyat.
Beliau turut menekankan kepentingan pelaburan dalam pembangunan bakat sebagai pemacu utama daya saing dan pertumbuhan jangka panjang.
“Kita harus terus bekerjasama untuk menerapkan inovasi, memperkukuh kerjasama industri, membangunkan bakat dan mencipta nilai yang lebih besar untuk perniagaan serta rakyat kita,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar berharap persidangan berkenaan dapat membuka peluang baharu, mencetuskan idea segar dan merapatkan lagi hubungan antara komuniti perniagaan Malaysia dan China.
“Semoga persidangan ini membuka pintu kepada peluang baharu, mengilhamkan idea-idea segar dan mendekatkan lagi komuniti perniagaan kedua-dua negara,” katanya.






















